PENGUAT KUASA JIM menahan lelaki Bangladesh yang cuba menyorok dalam tong drum. FOTO ihsan JIM
Zaid Salim
am@hmetro.com.my


LELAKI Bangladesh cuba bersembunyi dalam tong drum dengan kepalanya ditelangkup dengan bekas plastik bagi mengelak ditangkap Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang menyerbu tapak pembinaan sekolah di Cukai, Kemaman, hari ini.

Bagaimanapun, cubaan lelaki berusia 30-an itu dikesan anggota penguat kuasa JIM yang melakukan pemeriksaan kira-kira jam 11 pagi.

Pengarah JIM Terengganu, Rahim Hanafi berkata, hasil pemeriksaan terhadap lelaki Bangladesh itu mendapati dia tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan ditahan untuk tindakan lanjut.

Katanya, operasi diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasaan Ahmad Salihin Salleh turut dilakukan di 10 lokasi membabitkan tapak pembinaan, restoran dan kilang papan di Kemaman dan Dungun.

“Hasil serbuan kita memeriksa seramai 162 pekerja warga asing dan hasilnya, seramai 62 pendatang asing tanpa izin (PATI) membabitkan 52 lelaki dan 10 wanita ditahan kerana melanggar akta dan peraturan imigresen.

“Pecahan tangkapan membabitkan 29 warga Bangladesh, Indonesia (17), Yaman (enam), Thailand (lima), Myanmar (empat) dan seorang warga Pakistan.

“Seramai 45 orang ditahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana langgar syarat permit, 15 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan dua ditahan mengikut Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, semua PATI berusia antara 19 hingga 50 tahun terbabit dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Ajil, Kuala Berang untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Oktober 2019 @ 9:24 PM