ANTARA pelacur warga asing yang ditahan. FOTO Ihsan JIM Kedah
Aizat Sharif
mohd.aizat@hmetro.com.my


DENGAN hanya menggunakan aplikasi media social ‘WeChat’, satu aktiviti pelacuran membabitkan warga asing berjaya dibongkar oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kedah dalam satu serbuan di sebuah hotel bajet di Sungai Petani, semalam.

Pengarah Imigresen Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, dalam serbuan itu tiga wanita warga asing dari Thailand dan Laos ditahan dalam operasi yang bermula jam 11 malam itu.

“Operasi dilaksanakan hasil risikan dan maklumat orang ramai berkenaan kegiatan tidak bermoral seperti pelacuran berlaku di hotel berkenaan dan siasatan kami mendapati kegiatan pelacuran didalangi oleh seorang ‘ibu ayam’ warga tempatan yang akan mengawal pergerakan dan sebarang urusan dengan pelanggan menerusi aplikasi ‘WeChat’.

“Kita percaya hotel bajet ini baru sahaja dijadikan sebagai tempat operasi untuk aktiviti tidak bermoral ini di mana berdasarkan risikan kami, perkhidmatan seks turut ditawarkan oleh ‘ibu ayam’ ini dengan mengenakan bayaran RM200 untuk satu jam,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya, ketika diserbu, wanita warga asing ini sedang sibuk melayan pelanggan mereka yang terdiri daripada warga tempatan.

“Dua wanita warga Thailand serta seorang warga Laos berusia 27 hingga 30 tahun ditahan untuk membantu siasatan.

“Mereka didapati melakukan kesalahan mengikut Perkara 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah,” katanya.

Operasi yang berakhir jam 12.30 tengah malam hari ini itu turut disertai 10 anggota JIM Kedah dari Bahagian Penguatkuasaan.

Kesemua ditahan di lokap Bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Alor Setar untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Belantik di Sik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Oktober 2019 @ 1:27 PM