Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


BARISAN Nasional (BN) memberi bayangan bahawa calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai adalah calon daripada parti UMNO.

Ia diberikan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, apabila menyatakan bahawa MCA sentiasa berlapang dada seperti MIC yang memberi laluan kepada BN pada PRK Cameron Highlands.

“Mereka (MCA) sentiasa berlapang dada seperti mana MIC yang berlapang dada untuk Parlimen Cameron Highlands. Kita tidak menolak semua kemungkinan, apa yang saya fikir, kita mesti mengalahkan Pakatan Harapan (PH) dan memenangkan BN.

“Itu yang akan menjadi penanda aras kepada matlamat kita,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan Konvensyen UMNO Johor 2019 di Johor Bahru, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Pengerusi MIC negeri, R Vidyananthan dan Pengerusi UMNO negeri, Datuk Ir Hasni Mohammad.

Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata, sebarang pemilihan calon bagi PRK Tanjung Piai akan diputuskan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN, dalam masa terdekat.

“Kita amat yakin bahawa semangat BN harus dikekalkan. Oleh itu, sesuatu keputusan sama ada oleh UMNO Johor atau MCA Johor harus berlandaskan kepada kemuafakatan.

“Tentunya Mesyuarat Dewan Tertinggi BN adalah tempat untuk BN memuktamadkan calon yang akan ditentukan bagi PRK Tanjung Piai.

“Kita tahu pihak penyandang sepatutnya umumkan calonnya semalam, tetapi sekadar menyebut calonnya dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU). Jadi, langkah BN Johor tidak menamakan calon juga adalah langkah yang baik kerana kajian lapangan yang akan jadi landasan dalam pemilihan calon,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, BN perlu memberikan tawaran baharu kepada pengundi Tanjung Piai sekali gus akan menjadi manifesto serta aku janji BN Johor untuk PRK parlimen itu.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Oktober 2019 @ 12:43 PM
    AHMAD Zahid. FOTO Arkib NSTP