Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


MAHKAMAH Tinggi Shah Alam, hari ini, diberitahu balu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund) Nazrin Hassan, Samirah Muzaffar sempat mengambil duit mata wang asing miliknya di bilik tidur utama mayat mangsa yang ditemukan dalam kebakaran di Mutiara Home, Mutiara Damansara, tahun lalu.

Saksi ke-12 pendakwaan, Nur Ronal Ardes Amir, 39, yang juga bekas koperal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya berkata, dia melihat sendiri tertuduh pertama (Samirah) mengambil wang tunai itu yang disimpan dalam laci bersebelahan televisyen di dalam bilik berkenaan.

“Selepas mengambil wang itu, saya melihat Samirah seolah-olah mencari sesuatu dan kemudian terjumpa kunci pendua di dalam laci sama.

“Dia (Samirah) berkata pintu bilik tidak boleh dibuka kerana kunci di sini dan kemudian memasukkan wang berkenaan dan kunci ditemui dalam beg kain bertangkai yang dibawa wanita itu,” katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Wan Shahida Wan Omar dalam sesi pemeriksaan utama perbicaraan kes bunuh Nazrin, masuk hari ketujuh, di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman.

Saksi sama itu memaklumkan, itu adalah kali kedua Samirah masuk ke dalam bilik tidur utama rumah dua tingkat dengan diikuti olehnya yang ketika itu bertugas bersama Koperal Fauzana.

SHAHIDA: Kamu kata bawa pemilik (Samirah) naik ke atas rumah?

NUR RONAL: Pada 1.10 tengah hari, saya membawanya naik dan dia duduk di tepi kepala suami dalam bilik terbakar.

SHAHIDA: Kami ingat lokasi kedudukan tertuduh di kepala bahagian mana?

NUR RONAL:Di sebelah kanan kepala atas.

SHAHIDA: Apa sedang dibuat tertuduh ketika melutut?

NUR RONAL : Melutut sambil goyangkan badan dan melihat ke arah si mati.

SHAHIDA: Ada dengar dia menangis?

NUR RONAL: Tidak dengar, jangkaan masa itu lebih kurang 10 minit, anggaran 10 minit melutut ataupun mungkin kurang lagi.

Saksi sama itu berkata, Samirah kemudian mahu masuk ke dalam bilik berkenaan untuk mengambil wang lagi pada kali ketiga, namun bomba tidak membenarkan.

SHAHIDA: Kemudian?

NUR RONAL:Dia terus menuju ke bilik yang berada di sebelah kanan

SHAHIDA: Jadi dia masuk?

NUR RONAL: Tidak...dia bukak pintu untuk lihat keadaan bilik.

SHAHIDA: Kemudian?

NUR RONAL: Selepas itu, dia ‘mengomel’ beritahu rumah dia sepah dan dia kena buat sendiri sebab dia tiada pembantu rumah.

Nur Ronal berkata, dia ada melihat seorang remaja berusia lingkungan belasan tahun yang dicamkan sebagai tertuduh kedua kes bunuh ini dilihat naik beberapa kali ke bahagian atas rumah.

“Ketika naik kali pertama, remaja berkenaan membawa turun baju dan lampin pakai buang bayi dan saya mendengarnya memberitahu Samirah,” katanya.

Balu arwah Nazrin, Samirah Muzaffar, 44, dan dua remaja lelaki masing-masing berusia 17 dan 14 tahun mengaku tidak bersalah membunuh mangsa yang ketika itu berusia 47 tahun di sebuah rumah di Mutiara Homes, antara 11.30 malam, 13 Jun 2018 dan 4 pagi, 14 Jun 2018.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) yang dibaca bersama Seksyen 34 KK yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung 8 November depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Oktober 2019 @ 6:34 PM
NUR Ronal hadir perbicaraan kes kematian Nazrin di Kompleks Mahkamah Shah Alam. FOTO Sairien Nafis
Skip this ad x