Hairulazim Mahmud
azim@hmetro.com.my


KERAJAAN memerlukan mandat jelas daripada rakyat sekiranya mahu mengembalikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau bagaimanapun menegaskan, kerajaan tetap teguh dengan mandat rakyat apabila mahu cukai sebanyak enam peratus itu mesti dihapuskan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Katanya, atas semangat perjuangan bersama akar umbi yang mahu menghapuskan GST, maka PRU lalu menyaksikan Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan.

“Adalah sangat jelas dengan keputusan PRU lalu bahawa rakyat menolak GST sebanyak enam peratus kerana ketika itu, mereka diberi pilihan sama ada mahukan GST dengan mengekalkan Barisan Nasional (BN) ataupun cukai itu dihapuskan di bawah PH.

“Mandat yang diberikan rakyat, menyebabkan kita berjaya menghapuskan GST dan berjaya menampung kadar inflasi pada kadar 1.5 peratus pada bulan lalu. Jelas pemansuhan GST ada kesannya serta dapat mengatasi inflasi dan kos sara hidup .

“Sanggupkah kita melihat inflasi naik semula, dengan mengembalikan GST, sekiranya ya, seperti yang ditegaskan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, kerajaan perlu mandat yang jelas daripada rakyat,” katanya kepada media selepas majlis perhimpunan bulanan kementeriannya di Putrajaya, hari ini.

Semalam, Dr Mahathir berkata, kerajaan sedia mempertimbangkan untuk mengkaji sama ada GST lebih baik berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Selasa lalu, Pengerusi Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Tan Sri Dr Kamal Salih berharap kerajaan memperkenalkan semula GST dengan kadar lebih rendah berbanding enam peratus dahulu dalam Belanjawan 2020 untuk menutup jurang kewangan kerajaan.

Katanya, cukai kepenggunaan itu adalah sistem percukaian yang adil dan cekap, berbanding SST, maka kadar yang bersesuaian adalah tiga peratus.

Berkaitan kaedah untuk mendapatkan maklum balas mengenai kehendak akar umbi, Lim berkata, Menteri Kewangan hanya menguruskan hal berkaitan polisi ekonomi dan pelaksanaan dasar.

Beliau berkata, jika mahu menurut kehendak rakyat maka itu perlu dibincangkan di peringkat Majlis Presiden PH.

“Perkara ini tidak boleh diputuskan oleh saya seorang sahaja, ia perlu dibawa ke Majlis Presiden dan buat masa,” katanya.

Ditanya mengenai bagaimana kerajaan menguruskan pengurangan pendapatan selepas GST dihapuskan, Lim berkata, kerajaan berkeupayaan melakukannya dengan sumber kewangan sedia ada.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2020
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Oktober 2019 @ 2:35 PM
    LIM Guan Eng. FOTO Arkib NSTP