MAHATHIR Mohamad. FOTO arkib NSTP / Wisma Putra
Hairulazim Mahmud
azim@hmetro.com.my


TUN Dr Mahathir Mohamad mahu agensi keselamatan mengubah pendekatan dari tradisional kepada berasaskan teknologi Revolusi Industri 4.0 untuk memperkasakan penyampaian perkhidmatan dalam sektor keselamatan.

Perdana Menteri berkata, cabaran dan isu yang semakin kompleks itu memerlukan pendekatan baharu yang kreatif untuk menanganinya.

“Pendekatan ini termasuklah pembangunan sumber manusia yang lebih berdaya saing bagi menghadapi cabaran yang lebih kompleks ini.

“Selain itu, penggunaan ‘artificial intelligence’ atau AI, penggunaan

dron, automasi berasaskan robotik, ‘cloud computing’ dan ‘Internet of Things’ (IoT) yang berupaya menggurangkan kos dan sumber manusia di samping meningkatkan kecekapan dalam menangani cabaran dan isu-isu keselamatan.

“Strategi ini juga adalah selaras dengan dasar pendigitalan kerajaan,” kata beliau ketika berucap melancarkan Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (DKKA) di Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya.

Turut hadir, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dr Mahathir berkata, DKKA yang dilancarkan bermatlamat untuk menjadikan Malaysia kekal sebagai negara berdaulat, aman, makmur dan dihormati di persada dunia dengan rakyatnya bersatu padu serta berupaya mempertahankan kepentingan nasional.

Kata beliau, dasar berkenaan dirangka sebagai panduan dan rujukan bagi mendepani pelbagai isu dalam sektor keselamatan dan ketenteraman awam yang kian mencabar.

“Dasar ini juga akan melengkapi Dasar Keselamatan Negara (DKN) yang merupakan satu dasar payung dalam aspek keselamatan negara,” kata beliau.

Beliau berkata, DKKA itu merangkumi semua aspek dari pemeliharaan kelangsungan perlembagaan dan institusi agama, bangsa dan tanah air, pengukuhan keselamatan sempadan, menjamin keselamatan dan ketenteraman awam, memerangi ancaman dadah dan melindungi aset serta sasaran penting Negara.

“Dengan adanya dasar ini juga, saya juga berharap agar isu yang melibatkan pertindihan dasar dan pelaksanaan dapat diselaraskan semula,” kata beliau.

DKKA mengandungi enam teras utama dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di negara ini sentiasa terpelihara.

Dasar yang memberi tumpuan kepada isu dan gejala semasa yang mengganggu-gugat keselamatan dan ketenteraman awam itu mengandungi enam teras.

Ia adalah mempertahankan keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan institusi utama negara; meningkatkan tadbir urus dan integriti agensi penguatkuasaan keselamatan; dan memperkukuhkan kawalan keselamatan sempadan.

Tiga lagi teras ialah menjamin keselamatan dan ketenteraman awam; memerangi gejala dadah; melindungi aset dan sasaran penting negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 10:38 AM