Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my

PENDIDIKAN Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) adalah proses pendidikan serta latihan yang mempunyai hala tuju pekerjaan dengan penekanan utama terhadap amalan industri.

Ia bertujuan menghasilkan tenaga kerja yang kompeten dalam bidang tertentu selain diperkenal bagi memenuhi permintaan industri dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, selaras dengan globalisasi, ekonomi berasaskan pengetahuan, kemajuan teknologi dan mobiliti tenaga kerja global.

Namun, sejauh manakah penerimaan masyarakat terhadap TVET di Malaysia?

Kenapa ia masih dilihat sebagai kelas kedua berbanding dunia akademik sedangkan di negara maju, golongan ini dipandang tinggi serta mendapat tempat sewajarnya dari segi pendapatan dan pengiktirafan?

Dekan Fakulti Teknikal Dan Vokasional Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Ridzwan Che Rus, berkata, pandangan serong terhadap TVET ini bukan saja dalam kalangan masyarakat biasa tetapi salah faham juga berlaku dalam kalangan kakitangan kerajaan yang menentukan polisi dan akademik di institut pengajian tinggi.

Katanya, memang betul dulu kebanyakan pelajar yang memasuki aliran TVET adalah pelajar yang gagal dalam akademik dan tidak layak menyambung pengajian di peringkat universiti namun kini keadaan sudah berubah.

“Memetik kenyataan tokoh barat, Howard Gardner, manusia mempunyai kepelbagaian kecerdasan dan salah satu yang diiktiraf ialah dari segi kemahiran psikomotor.

“Kita ambil contoh mudah, iaitu ikan. Adakah kita mampu mengajarnya memanjat pokok? Sudah tentu tidak kerana ikan dunianya di dalam air, masakan kita mahu paksa ikan untuk memanjat pokok.

“Begitu juga dengan pelajar TVET yang kepandaian mereka adalah kemahiran. Oleh itu, kita perlu didik mereka dengan kemahiran vokasional dan teknikal kerana itu juga adalah keperluan industri masa kini,” katanya.

Dalam isu pekerja mahir atau tidak berkemahiran, stigma dan persepsi masyarakat terhadap TVET harus berubah.

Masyarakat melihat, individu yang berpakaian korporat dan kemas adalah orang yang berjaya akibat pengaruh persekitaran dan media.

Namun kebanyakan pekerja dalam bidang TVET ini kebiasaannya adalah berbeza dan berpakaian kotor sekali gus wujud persepsi bahawa pekerja TVET busuk, kotor dan berbau kerana faktor persekitaran kerja mereka walau tidak semuanya berimej begitu.

Justeru majikan dan kerajaan harus mengubah imej TVET agar lebih terkini dan kemas serta segar supaya sesuai dengan zaman kini.

Di Jepun misalnya, pekerja yang melakukan pembersihan kawasan dianggap profesional kerana pekerjaan yang mereka lakukan membabitkan kemahiran sederhana ke tinggi. Tapi di Malaysia, teknologi kutipan sampah masih di tahap rendah.

Kata Dr Ridzwan, industri harus mengaplikasikan teknologi dalam kehidupan seharian dan mengambil pekerja yang berkemahiran tinggi sesuai dengan perjawatan bidang berkenaan.

“Masyarakat juga perlu lebih menghargai golongan yang memberi perkhidmatan serta pekerjaan yang berkemahiran tinggi dan sederhana tinggi kerana tanpa mereka siapa lagi yang melakukan kerja yang kotor, berbahaya dan diperlukan.

“Kita juga sebagai masyarakat perlu ingat selama ini kita bergantung kepada tenaga kerja asing di dalam beberapa sektor pekerjaan di negara kita.

“Sudah sampai masanya kita bergantung kepada masyarakat kita sendiri untuk menyumbangkan kemahiran dan kepakaran mereka kepada negara sendiri dengan bayaran gaji yang setimpal,” katanya.


DR Ridzwan.

Dalam hal ini, ada pula yang mempersoalkan graduan TVET di anak tirikan terutama dalam sektor pekerjaan dan ternyata ia sememangnya wujud terutama dalam kalangan majikan berlandaskan beberapa faktor iaitu gaji, kelulusan, sikap dan sektor pekerjaan.

Menurut Dr Ridzwan, untuk membangunkan negara, pekerja yang berkemahiran sederhana dan tinggi sangat diperlukan.

Namun, katanya dalam mendapatkan untung maksimum, kebanyakan majikan menawarkan gaji rendah dan pekerja asing menjadi pilihan utama.

“Majikan di Malaysia seharusnya melabur dengan mengambil pekerja berkemahiran tinggi jika ingin industri di negara ini berkembang dan budaya inovasi produk sentiasa berlaku.

“Kebanyakan graduan lulusan TVET diberikan gaji rendah walaupun mempunyai Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) atau Diploma Kemahiran Malaysia (DKM). Malah ada kalanya gaji mereka sama dengan gaji minimum pekerja asing yang tiada kemahiran.

“Janganlah disebabkan kos gaji yang rendah majikan memilih hanya pekerja asing bekerja di kilang mereka,” katanya.

Jika golongan berkemahiran tidak ada, apakah yang berlaku terhadap pembangunan negara ini. Bagaimana untuk kita memenuhi keperluan revolusi industri 4.0?

Disamping itu, dengan kebanjiran pekerja asing, ia sedikit sebanyak mengundang kepada masalah termasuk gejala sosial, penyakit berjangkit seperti malaria, Tibi dan banyak lagi yang pastinya memberi impak negatif kepada negara.

Majikan harus mengiktiraf kemahiran dan pengetahuan diperoleh graduan TVET di Malaysia serta mengambil mereka yang baru menamatkan pengajian kerana tanpa memberi peluang, graduan TVET tidak akan mendapat pengalaman kerja.


Tiada jurang penggajian

Graduan berkemahiran terutama Pendidikan Latihan dan Vokasional (TVET) adalah calon pekerja yang sentiasa menepati keperluan majikan dalam mengisi kekosongan di syarikat masing-masing.

Selain itu, 90 peratus graduan TVET berjaya memperoleh pekerjaan selepas menamatkan pengajian berbanding graduan akademik dengan peratusan kurang dari 80 peratus.

Masalah kurang diiktiraf atau tidak mendapat pekerjaan serta jurang penggajian berbanding graduan akademik tidak timbul.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan, berkata mengikut data yang ada, tiada jurang penggajian terhadap graduan TEVT ataupun akademik.

Katanya, dengan sistem penggajian yang diamalkan di negara ini, ia sekali gus mengiktiraf pekerja itu seadilnya walau ia datang dari aliran kemahiran.

“Gaji memang mengikut pasaran kerja walau dari bidang akademik mahupun TVET dan kebanyakan gaji yang berkelulusan diploma bermula dari RM1,800 hingga RM2,000 tetapi ia adalah gaji permulaan.

“Kalau pekerja itu mempunyai Sijil Kemahiran Malaysia, gaji dibayar mengikut tahap pembelajaran mereka iaitu tahap 3 (RM1,400), tahap 2 (RM1,300) dan tahap 1 (RM1,200).

“Gaji permulaan yang diberikan segelintir syarikat nampak rendah tetapi harus diingat ia gaji permulaan dan bayaran itu dinaikkan dari semasa ke semasa mulai dari tempoh percubaan selama enam bulan atau mengikut kepada tempoh mereka berkhidmat,” katanya.


SHAMSUDDIN. FOTO Khairul Azhar Ahmad

Bagi penggajian di luar negara pula, Shamsuddin akui gaji permulaan mereka sememangnya tinggi tetapi ia adalah gaji yang mendatar iaitu tanpa kenaikan kecuali mereka dinaikkan pangkat.

“Menerusi sistem penggajian yang diguna pakai di negara luar iaitu kadar gaji untuk sesuatu kerja, jika gaji pertama mereka RM4,000, gaji itu kekal walau ia berkhidmat dalam tempoh lama.

“Tetapi di negara kita, ia bermula sedikit tetapi proses kenaikan gaji itu adalah tinggi sehingga boleh mencecah RM500 selepas tempoh percubaan yang biasanya enam bulan tamat.

“Gaji mereka juga semakin meningkat jika berkhidmat dalam tempoh yang lama. Justeru, pada saya tiada jurang pendapatan yang berlaku dalam kalangan graduan akademik atau TVET di negara ini,” katanya.

Mengulas penggajian di Malaysia pula, Shamsuddin menegaskan tiada istilah pilih kasih kerana majikan kini lebih melihat kepada kemahiran.

“Ini terbukti dengan inisiatif kerajaan yang kini dalam rangka untuk menjadikan pembelajaran TVET dalam arus perdana.

“Dengan memperkasa TVET dalam arus perdana, pembelajaran akan lebih kepada kemahiran sekali gus menjadikan pelajar di negara ini serba boleh tidak kira dalam akademik mahupun kemahiran,” katanya.

Graduan TVET kini pengarah urusan

Siapa sangka berkat saranan dan pandangan positif ayahnya terhadap bidang kemahiran, menjadikan Lokmanulhakim Abdul Adzis, 35, sebagai usahawan berjaya.

Memiliki lima cawangan pusat servis penghawa dingin kereta, Azbi Centre di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, Lokmanulhakim membuktikan dengan sekeping sijil kemahiran, dia mampu bergelar pengarah urusan dan memberi peluang pekerjaan kepada anak muda serta graduan bidang sama dengannya.

Katanya, dipandang rendah masyarakat kerana mengambil bidang kemahiran dan bukannya akademik adalah dilema kebanyakan graduan TVET termasuk dirinya.


“Keadaan itu sekali gus membuatkan saya segan untuk memberitahu yang saya pelajar kemahiran di Giat Mara lebih-lebih lagi kursus yang diambil hanya selama enam bulan.

“Dari kecil lagi, saya diperdengarkan mitos hanya mereka yang belajar ke menara gading menjanjikan pekerjaan yang baik terutama dalam bidang profesional.

“Namun, pendapat berbeza dari ayah yang percaya kemahiran boleh pergi jauh memberi keyakinan kepadanya untuk berjaya sekali gus membuang stigma buruk mengenai bidang kemahiran,” katanya.

Tanpa minat, Lokmanulhakim tetap melanjutkan pelajaran selama enam bulan di Giat Mara pada 2007.

Slogan institut latihan itu Kemahiran Menjamin Masa Depan dan percaya kemahiran punya harga tersendiri yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit, Lokmanulhakim semakin nekad untuk membuktikan dia mampu mengubah persepsi orang ramai terhadap bidang kemahiran.

“Ketika menamatkan pengajian, saya bekerja dengan orang hanya sekejap dan memutuskan untuk berniaga dengan kemahiran yang saya ada.

“Selain membuka perniagaan untuk menampung kehidupan, saya juga melihat perniagaan ini kepada membantu anak bangsa terutama dalam golongan B40 untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka.

“Walaupun mereka tidak ada sijil, syarikat memberi latihan kepada mereka dari masa ke semasa dan menjadikan mereka mahir seterusnya boleh menjadi rakan kongsi perniagaan bagi yang berminat,” katanya.


LOKMANULHAKIM. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

Pekerja ada yang bermula tanpa sijil tetapi punya kesungguhan menjadi pilihan syarikat dalam membantu mereka.

Ini kerana katanya, apabila mereka mempunyai pengalaman dan kemahiran, pihaknya memberi peluang kepada mereka untuk mengambil Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) supaya mereka mempunyai nilai dalam industri.

Mengulas soal akademik dan kemahiran, kata Lokmanulhakim, ia saling melengkapi.

“Dengan kemahiran, graduan itu sememangnya boleh meneruskan kehidupan dan memperoleh pekerjaan yang setimpal dengan kemahirannya.

“Tapi, bidang akademik juga sangat diperlukan terutama apabila mereka ingin memajukan diri dalam bidang kemahiran seperti membuka syarikat sendiri.

“Justeru, saya menasihati semua graduan sama ada TVET atau akademik untuk sentiasa melengkapi dan seterusnya menjadi pilihan utama sesebuah syarikat ketika mencari pekerjaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Oktober 2019 @ 4:45 PM