Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


MAHKAMAH Tinggi di Shah Alam diberitahu riak wajah bersahaja dan tidak sedih dipamerkan balu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund) Nazrin Hassan ketika bomba tiba di rumah mereka di Mutiara Homes, Petaling Jaya.

Saksi kesembilan pendakwaan, Mohamad Afzan Majid, 50, berkata, dia melihat riak wajah Samirah Muzaffar, 44, ketika bertugas memadamkan kebakaran di rumah pasangan itu pada 14 Jun 2018.

Katanya, sepanjang 22 tahun berkhidmat dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), dia tidak pernah melihat ahli keluarga yang tidak menangis, meratap atau meraung apabila mengetahui adanya kematian akibat kebakaran.

“Kebiasaannya penghuni rumah jika membabitkan mangsa yang mati terbakar akan berbuat sedemikian (menangis, meraung dan meratap).

“Perkara seperti ini berlaku kerana mereka (ahli keluarga) terlalu sedih,” katanya menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Ashyraf Ashy’ari Kamaruzaman dalam sesi pemeriksaan utama, hari ini.

ASHYRAF: Apa reaksi Samirah ketika itu?

MOHAMAD AFZAN: Pada ketika itu, saya dapati Samirah bersahaja.

ASHYRAF: Maksud bersahaja bagaimana?

MOHAMAD AFZAN: Maksud saya tidak dalam keadaan sedih.

Menurut saksi yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Damansara, ketika kejadian itu, sepasukan jentera dengan lima anggota tiba di rumah terbabit pada 12.46 tengah hari dan mereka melihat asap keluar dari tingkat atas kediaman dua tingkat berkenaan.

“Sebaik turun dari jentera, saya bersama pemangku penyelia operasi, Pegawai Bomba Tanhoss Bah Agem dan Muhammad Rezza Rusli melihat Samirah melambai di pintu hadapan kediaman itu dan dia memberitahu dirinya pemilik rumah dan juga isteri kepada mangsa kebakaran.

“Samirah memberitahu berlaku kebakaran di tingkat atas rumah itu sebelum Tanhoss mengarahkan saya dan Muhammad Rezza yang sudah memakai topeng keselamatan membawa masuk ‘hose reel’ dan memadamkan kebakaran,” katanya.

Saksi sama itu berkata, Samirah turut naik bersama mereka ke tingkat atas dan mereka melihat pintu bilik berkenaan sudah separuh terbuka dan pintu tombol dipecahkan.

“Saya juga dapati asap keluar melalui pintu menghala ke atas dan tidak melihat mayat, memandangkan asap masih tebal.

“Dalam masa sama, Samirah mahu masuk ke dalam bilik berkenaan, namun saya menghalangnya,” katanya yang kemudian berjaya memadamkan kebakaran itu dalam tempoh dua minit sebelum proses membuang asap dilakukan Muhammad Rezza.

Saksi itu berkata, dia kemudian membawa Samirah turun berikutan wanita berkenaan bertindak menghalang mereka daripada melakukan tugas sebelum Tanhoss kemudiannya memaklumkan mereka terdapat mayat seorang lelaki di bilik itu.

“Samirah merayu untuk naik ke bilik bagi melihat suaminya dan Tanhoss membenarkan. Saya lihat satu mayat lelaki terbaring dalam keadaan terlentang dan hanya berseluar dalam sahaja.

“Tertuduh melutut dan mendekatkan diri dengan mayat dan dia pandang ke arah kepala mangsa dalam tempoh lima minit,” katanya.

ASHYRAF: Samirah pandang kepala mangsa (Nazrin) dalam masa lima minit, bagaimana kamu tahu?

MOHAMAD AFZAN: Saya tahu sebab saya lihat pergerakan kepala tertuduh ke kiri dan ke kanan ketika itu.

Balu arwah Nazrin, Samirah dan dua remaja lelaki masing-masing berusia 17 dan 14 tahun mengaku tidak bersalah membunuh mangsa yang ketika itu berusia 47 tahun di sebuah rumah di Mutiara Homes, Petaling Jaya antara 11.30 malam, 13 Jun 2018 dan 4 pagi, 14 Jun 2018.

Mereka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Oktober 2019 @ 4:25 PM
MOHAMAD Afzan hadir perbicaraan kes kematian Nazrin Hassan di Kompleks Mahkamah Shah Alam, hari ini. FOTO Sairien Nafis