TERTUDUH membayar ikat jamin selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Mersing. FOTO Hairul Anuar Rahim.
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


NELAYAN dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Mersing hari ini, kerana memiliki anjing jenis ‘Mixed Pitbull’ tanpa lesen dan cuai meninggalkan haiwan itu sehingga membahayakan orang lain.

Tertuduh, Lim Seer Hao, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan itu selepas ia dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Berdasarkan pertuduhan pertama, bapa empat anak itu didakwa dengan cuai meninggalkan anjing peliharaannya sehingga mendatangkan bahaya dan menyebabkan jirannya iaitu kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun cedera parah.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di rumah dekat Jalan Permata 3, Taman Permata, Endau, Mersing pada 7.30 petang, 27 Jun lalu.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Manakala, bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa memiliki anjing peliharaan terbabit dalam rumah kediaman tanpa lesen pada waktu, tarikh dan tempat yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Undang-undang Kecil Pelesenan Anjing) Majlis Daerah Mersing 2003 yang membawa hukuman denda sehingga RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Putera Amirool Faez Suhasi mencadangkan jaminan RM3,000 bagi kedua-dua pertuduhan, namun peguam Yen Heng Teng yang mewakili tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan.

“Anak guam saya bekerja sebagai nelayan dengan pendapatan kira-kira RM4,000 sebulan. Dia bagaimanapun mempunyai tujuh tanggungan iaitu empat anak yang berusia antara tujuh hingga 13 tahun, isteri yang tidak bekerja serta kedua-dua ibu bapanya,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Oktober ini untuk sebutan semula bagi pengurusan kes dan serahan dokumen.

Pada 29 Jun lalu, akhbar ini melaporkan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun parah pada muka digigit anjing di rumah dekat Endau, Mersing.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan sedang bermain di rumah jirannya sebelum dipercayai rantai tali pengikat anjing tercabut dan anjing peliharaan jirannya itu menyerang mangsa.

Berita berkaitan

Pitbull baham muka

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Oktober 2019 @ 1:08 PM