PUKAT yang digunakan nelayan Vietnam. FOTO Ihsan PPM.
Norasikin Daineh
norasikin_daineh@nstp.com.my


CUBAAN lapan nelayan Vietnam menyembunyikan pukat ‘asing’ di ruang hadapan bot untuk mengaburi mata pihak berkuasa gagal apabila dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) di perairan Sepanggar di Kota Kinabalu.

Lapan nelayan berusia 20 hingga 53 tahun itu ditahan bersama dua tan ikan pelbagai jenis dan udang kara pada 1 tengah hari semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, kumpulan nelayan itu diberkas anggota Bot Ronda PSC64 dalam Ops Gelora.

“Hasil pemeriksaan anggota terdapat pukat berwarna hijau disembunyikan di ruang hadapan kapal yang disyaki digunakan untuk menangkap ikan.

“Pukat itu bukan jenis pukat rawai seperti dibenarkan dan mereka melanggar syarat lesen yang ditetapkan susulan penggunaan pukat terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.


NELAYAN Vietnam yang ditahan PPM. FOTO Ihsan PPM.

Mohamad Pajeri berkata, dua tan ikan dan 23 udang kara ditemui tersimpan dalam peti berkunci bot itu ditemui dan mereka diarah menghentikan operasi.

Katanya, semua mereka dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

“Nilai keseluruhan rampasan RM384,000 dan kes diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Jabatan Perikanan Kota Kinabalu untuk siasatan mengikut Seksyen 11(3)(b) Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan peralatan perikanan yang tidak dilesenkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Oktober 2019 @ 10:54 AM