NIK ROS AZHAN NIK AB HAMID
Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


KEMARUK mahu melepaskan gian, membuatkan dua rakan sanggup menjadikan lantai di tangga kecemasan sebuah kompleks beli-belah, di sini, untuk menghisap dadah, Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 8.45 malam itu, kedua-dua mereka masing-masing seorang lelaki dan wanita berusia 33 tahun menyangka kawasan berkenaan selamat dari pandangan orang ramai dan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, perbuatan itu berjaya dihidu sepasukan polis yang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan terbabit yang terserempak dengan mereka dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, ketika itu dua suspek berkenaan dilihat sedang duduk atas lantai di laluan tangga kecemasan sambil menghisap dadah.

“Anggota polis kemudian memperkenalkan diri dan meminta dua suspek berkenaan memberi kad pengenalan, namun kedua-duanya gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri masing-masing.

“Mereka kemudian diminta memberikan butir pengenalan diri dan semakan mendapati dua suspek itu memiliki rekod lampau,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, suspek lelaki memiliki 18 rekod lampau bersabit kes dadah, manakala suspek wanita pula mempunyai satu rekod dadah dan dua rekod jenayah.

“Polis turut merampas straw kuning mengandungi hablur kristal disyaki syabu seberat 0.19 gram.

“Dua suspek itu kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Oktober 2019 @ 6:21 AM