Harimau Putih Bengal yang diberi nama ‘Puteri Elsa’ antara tarikan di Zoo Melaka. FOTO Arkib NSTP
Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@hmetro.com.my


ZOO Melaka melancarkan program Zoobilation bertujuan mencari penaja bagi keperluan haiwan yang terdapat di zoo berkenaan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Mohd Rafee Ibrahim berkata, 51 pameran haiwan akan ditawarkan kepada bakal penaja terdiri daripada individu, syarikat swasta atau agensi kerajaan berminat.

Beliau berkata, inisiatif yang pertama kali seumpamanya itu adalah salah satu usaha Jabatan Zoo di bawah MPHTJ untuk mengembalikan kegemilangan Zoo Melaka di samping memberikan pengalaman lebih baik kepada pengunjung.

“MPHTJ melalui Jabatan Zoo sentiasa mahu memberikan yang terbaik kepada pengunjung dan Zoobilation adalah antara usaha kami untuk mengembalikan Zoo Melaka sebagai ikon pelancongan negeri.

“Tajaan pameran haiwan bermula dari RM20,000 setahun ke RM2 juta untuk lima tahun bergantung kepada pameran haiwan yang terbabit,” katanya pada sidang media selepas majlis Hi Tea Media Bersama Yang Dipertua MPHTJ di Ayer Keroh hari ini.

Hadir sama Setiausaha MPHTJ, Afzai Nizam Sandiman; Pengarah Zoo Melaka, Zanariah Khamis dan Yang Dipertua Kelab Media Massa Melaka (KEMM), Suffian Abu Bakar.

Mengulas lanjut, Mohd Rafee berkata, Zoobilation akan dijadikan acara tahunan bagi Zoo Melaka yang juga diharap menjadi platform contoh kepada zoo lain di Malaysia yang memerlukan sokongan semua pihak.

“Menariknya, pihak penaja boleh menamakan haiwan yang ditaja itu sama ada kepada haiwan itu sendiri atau kepada nama kadang dengan menggunakan logo korporat mereka.

“Tempoh tajaan pula adalah antara 12 hingga 24 bulan yang mana dana tajaan itu adalah untuk kegunaan penjagaan kesihatan dan makanan haiwan berkenaan selain untuk menambah baik kemudahan di Zoo Melaka,” katanya.

Menurutnya, majlis penyerahan kunci Pameran Haiwan kepada penaja akan diadakan 26 Oktober ini yang dijangka disempurnakan Ketua Menteri, Adly Zahari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 September 2019 @ 9:49 PM