KHALID Samad. FOTO Arkib NSTP.
BERNAMA

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur, hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad daripada tuduhan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan terhadap Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Nur Ashikin Mokhtar memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan tidak berhasrat meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang membebaskan Khalid pada 7 Jun lalu.

Sehubungan itu, Hakim Mohd Nazlan menolak rayuan itu.

“Mahkamah menolak rayuan itu berikutan pihak pendakwaan tidak berhasrat untuk meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang membebaskan responden (Khalid),” katanya.

Terdahulu, peguam Muhammad Faiz Fadzil, yang mewakili Khalid, memberitahu mahkamah beliau sudah menyerahkan surat representasi kepada Jabatan Peguam Negara pada 18 Mac, supaya dipertimbangkan untuk rayuan itu ditarik balik.

Pada 22 Ogos, mahkamah menetapkan hari ini untuk sebutan permohonan pendakwaan bagi menarik balik rayuan terhadap pembebasan Khalid daripada pertuduhan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan terhadap MAIS.

Hakim Mahkamah Sesyen Rohatul Akmar Abdullah pada 7 Jun, melepaskan dan membebaskan Khalid, yang juga Anggota Parlimen Shah Alam, daripada pertuduhan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan berhubung kuasa eksekutif MAIS di kawasan lobi Parlimen pada 11.30 pagi, 17 Jun 2014.

Pertuduhan itu, yang dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948, memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih daripada tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 jika disabitkan kesalahan.

Rohatul Akmar membebaskan Khalid atas alasan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap beliau.

Beliau berkata, mahkamah berpendapat perkataan dan perenggan dalam kenyataan Khalid adalah bersifat sebagai satu cadangan untuk mengkaji bidang kuasa MAIS.

“Cadangan dan pandangan itu adalah munasabah, justeru, tidak kukuh untuk memerintahkan tertuduh membela diri. Oleh itu, mahkamah melepaskan dan membebaskan beliau daripada pertuduhan ini,” kata hakim berkenaan.

Dua belas saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan itu yang bermula pada 12 Jun 2016. Khalid pada masa itu merupakan anggota pembangkang (di peringkat persekutuan).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 September 2019 @ 3:50 PM