JENAZAH Nor Ahmad Asmadi (gambar kecil) dibawa ke Hospital Dungun untuk bedah siasat. FOTO ROSLI ILHAM
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


“SAYA tidak dapat menahan sebak melihat darah membuak-buak keluar daripada mulut dan hidung mangsa,” kata Mohd Kamarul Ramli, 29 apabila rakannya, Nor Ahmad Asmadi Mad Yaacob, 27, ditimpa dahan balak yang ditebang di Hutan Simpan Hulu Paka, Dungun, hari ini.

Kejadian jam 3.35 petang itu menyebabkan mangsa berasal dari Bukit Kemiringan Tenang, Jerteh, parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS).

Mohd Kamarul berkata, kejadian berlaku ketika dia bersama tiga rakan baru selesai menebang balak terletak kira-kira 200 meter daripada lokasi mangsa.

“Ketika itu mangsa bersama seorang pembantu sedang menebang sebatang balak sebesar satu pemeluk setinggi kira-kira 30 meter.

“Saya terdengar bunyi balak ditebang tumbang dan pada masa sama kedengaran jeritan pembantu mangsa menjerit meminta bantuan,” katanya ketika ditemui di Bilik Forensik Hospital Dungun, malam ini.

Menurutnya, susulan kejadian itu, dia bergegas ke lokasi rakannya dan mendapati mangsa parah di kepala.

“Difahamkan ketika pokok ditebang tumbang, terdapat sebatang dahan kering jatuh lalu mengenai kepala mangsa.

“Saya tidak putus-putus mengajar mangsa mengucap ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan yang jaraknya sejauh hampir 30 kilometer dari lokasi kami bekerja.

“Namun dia akhirnya meninggal dunia sebaik tiba di klinik berkenaan,” katanya.

Menurutnya, dia bersama mangsa yang juga rakan sekampung baru dua bulan bekerja sebagai penebang balak di lokasi berkenaan.

“Saya sangat akrab dengannya dan kami bekerja di sini selepas selepas tamat kontrak kerja di Kuala Balah, Jeli, Kelantan.

“Setiap pagi, dia akan mengejutkan saya untuk solat Subuh dan kehilangannya amat dirasai,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu dan jenazah mangsa sudah dibawa ke Hospital Dungun untuk bedah siasat.

“Siasatan polis mendapati tiada sebarang perbuatan jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 September 2019 @ 11:40 PM