GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


MAYAT lelaki warga Jepun berusia 63 tahun ditemui dalam keadaan terlentang dan berselimut di atas katil bilik tidurnya di sebuah kondominium di Kepong Sentral, Gombak, hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, anggota pusat kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak menerima maklumat daripada pihak pengurusan kondominium jam 12 tengah hari memaklumkan bau busuk datang dari rumah mangsa.

Menurutnya, polis yang tiba mendapati pintu jeriji berkunci dan meminta bantuan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang untuk membuka pintu.

“Hasil pemeriksaan menemui lelaki berkenaan dalam keadaan terlentang dan sudah berbau busuk.

“Mangsa dipercayai sudah mati sejak lima hari lalu dan temubual dengan pihak pengurusan memaklumkan lelaki terbabit tinggal seorang diri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Samsor berkata, siasatan mendapati tiada unsur jenayah dan mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

“Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 September 2019 @ 8:35 PM