PROF Dr Shahrom Abd Wahid. FOTO Arkib NSTP
Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


“SAYA bersyukur kepada Allah SWT dengan ketentuan-Nya untuk keputusan kes inkues Allahyarham Adib,” itu kata Pakar Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Mahkamah Koroner semalam, yang memutuskan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim akibat impak perbuatan jenayah disebabkan dua atau lebih lelaki yang tidak dikenali.

Dr Shahrom yang juga saksi inkues ke-29 berkata, dirinya gembira kerana dapat membantu keluarga Muhammad Adib mencari kebenaran.

“Saya gembira untuk keluarga beliau, dan saya juga berpendapat keputusan Mahkamah Koroner adalah tepat,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Semalam, Koroner Rofiah Mohamad membuat keputusan dengan menerima keterangan Dr Shahrom yang menyatakan mangsa dihentak dan diheret keluar dari van bomba pada masa kejadian.

Selain itu, Rofiah merumuskan kegagalan polis dan FRU dalam mengawal rusuhan turut menyumbang kepada kematian Muhammad Adib.

Sehubungan itu, Mahkamah Koroner menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Peguam Negara untuk melakukan siasatan dan pendakwaan.

Prosiding inkues terbabit berlangsung selama 41 hari bermula 11 Februari lalu dan menyaksikan 30 saksi memberi keterangan dengan 137 ekshibit dikemukakan.

Ia dikendalikan Pegawai Pengendali, Faten Hadni Khairuddin manakala, keluarga Muhammad Adib diwakili peguam Syazlin Mansor, Yahaya Othman, Kamaruzaman A Wahab dan Ahmad Taufiq Baharum.

Tiga Peguam Kanan Persekutuan iaitu Suzana Atan, Mazlifah Ayob dan Fadzilatul Isma Ahmad Rafngah dan Afiq Zainal Abidin mewakili Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM).

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember tahun sama di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 September 2019 @ 3:21 PM