Nur Izzati Mohamad
am@hmetro.com.my


KUMPULAN Media Prima Berhad (Media Prima) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Western Digital mengambil kesempatan mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat sempena Karnival Jom Heboh selama dua hari, bermula esok.

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Syed Hussian Aljunid berkata, program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) menjadi acara tradisi bagi kumpulan itu setiap kali sebelum menganjurkan Jom Heboh bagi mengenali dan memahami kawasan dikunjungi.

Beliau berkata, CSR sangat sinonim dan dekat di hati Media Prima apabila melaksanakan pelbagai program antaranya membantu mereka dilanda bencana alam, menyantuni golongan gelandangan dan memberi bantuan perubatan kepada golongan kurang berkemampuan terutama kanak-kanak.

“Pada hari ini, warga dan personaliti Media Prima menyertai dan mempromosikan program CSR berbentuk kesedaran dengan mengadakan aktiviti di Taman Upcycle, Bandar Perda yang kini menjadi tumpuan penduduk tempatan melakukan aktiviti riadah.

“Kami berterima kasih kepada MBSP dan Western Digital kerana turut serta dalam memberi sumbangan bagi menjayakan program CSR ini,” katanya ketika ditemui di Bukit Mertajam, hari ini.

Dalam program CSR itu, Media Prima menyumbang 80 ekor ikan kap Taiwan yang dilepaskan ke dalam kolam berhampiran Bangunan MBSP, selain turut menanam pokok bagi memperindahkan lagi kawasan riadah berkenaan.

Syed Hussian berkata, beliau berharap sumbangan itu dapat merancakkan aktiviti riadah bersama keluarga termasuk mengurangkan tekanan kerja.

Upcycle Park adalah taman riadah berkeluasan 9,684.5 meter persegi dan mempunyai keunikan tersendiri dengan menyediakan ruang dilengkapi barangan serta perkakasan diperbuat daripada bahan terpakai.

Sementara itu, Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud berkata, program itu begitu baik dan memberi manfaat kepada penduduk setempat disamping dapat bertemu dengan personaliti TV3 serta artis tempatan.

“Kami berterima kasih kerana memilih MBSP untuk menganjurkan program CSR ini dan Upcycle Park sangat popular dikunjungi penduduk di sini.

“Di kawasan ini dianggarkan terdapat kira-kira 20,000 penduduk dan pastinya program ini memberi impak positif kepada mereka,” katanya.

Karnival Jom Heboh akan berlangsung di Stadium Negeri Batu Kawan dengan menampilkan pelbagai program dan acara menarik yang boleh disertai pengunjung termasuk dapat membeli-belah dengan harga berpatutan.

Di samping beramah mesra dengan barisan personaliti dan selebriti TV3 dan Media Prima, pengunjung berpeluang bertemu dengan artis popular tanah air yang turut serta memeriahkan karnival berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 September 2019 @ 10:33 PM
SYED Hussian (tengah) melepaskan ikan koi ketika program CSR sempena Karnival Jom Heboh di Taman Upcycle Bandar Perda, Bukit Mertajam, hari ini. FOTO Ramdzan Masiam.