AZHAR ketika menghadiri Majlis Perasmian Voting Education Society (VES) di UiTM, Seremban. FOTO IQMAL HAQIM ROSMAN
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) akan mempertimbangkan sama ada menerima atau menolak calon berusia 18 tahun bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, keputusan itu hanya dibuat selepas mengadakan sesi libat urus bersama wakil setiap parti dalam masa terdekat.

“Untuk menjadi calon, sebenarnya saya akan adakan libat urus secara dwi parti tidak lama bagi membincangkan perkara ini.

“Sekiranya lulus, ada kemungkinan kita bakal saksikan calon berusia 18 tahun bertanding di PRK Tanjung Piai buat julung kali dalam sejarah pilihan raya negara sebab sebelum ini calon berusia atas 21 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Voting Education Society (VES) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seremban 3, malam ini.

Terdahulu, PRK Tanjung Piai akan diadakan susulan penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Hospital Pontian, Johor, jam 6 pagi pada 21 September lalu.

Allahyarham Dr Md Farid, 42, yang juga Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang juga Naib Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Tanjung Piai memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) selepas menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng dengan memperoleh 21,255 undi.

Sementara itu, Azhar berkata, pengundi berusia 18 tahun masih belum dibenarkan mengundi pada PRK Tanjung Piai.

“Ini kerana penguatkuasaan peruntukan untuk membolehkan pengundi berusia 18 tahun hanya akan diwartakan selepas Yang di-Pertuan Agong memutuskan tarikh penguatkuasaannya,” katanya.

Dewan Rakyat sebelum ini meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had usia mengundi kepada 18 tahun, pendaftaran pengundi automatik pada usia 18 tahun dan menurunkan usia calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun, Julai lalu.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 11:33 PM