FOTO Hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


POLIS menumpaskan sindiket pengedaran rokok seludup dengan menahan dua lelaki dan merampas 24,000 karton rokok keretek menggunakan sistem cukai palsu bernilai RM4,254,000 juta di Nilai, Negeri Sembilan, Selasa lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas Pasukan Gerakan Khas (PGK) KDNKA yang menerima maklumat melancarkan operasi di kawasan terbabit yang mana sindiket itu bergiat aktif di seluruh Semenanjung Malaysia.

Katanya, seorang lelaki tempatan dan lelaki warga Myanmar berusia 30 dan 44 tahun ditahan bersama rokok seludup dan merampas sebuah kereta Perodua Myvi.

“Suspek ditahan reman selama lima hari bermula Rabu lalu hingga Ahad ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135 (1) E) Akta Kastam 1967.

“Sementara itu, dalam serbuan berasingan, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1, Kuala Kedah (Zon Langkawi), Kedah menahan sebuah lori dipandu lelaki di Lorong Hj Ismail, Jalan Datuk Kumbar, Alor Setar 2.30 petang Selasa lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Acryl Sani berkata, sebanyak 628,000 batang rokok putih dan keretek seludup pelbagai jenama dirampas dengan nilai rampasan selepas dicukai berjumlah RM584,440 dan nilai rampasan termasuk lori dianggarkan RM669,440.

“Barang kes dan suspek diserahkan kepada pihak kastam untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 10:09 PM