Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@hmetro.com.my


PEMAIN industri ternakan negara perlu berani menerima teknologi baru dan melabur dalam skala lebih besar ke arah transformasi ekonomi berpendapatan tinggi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, untuk mencapai cita-cita negara maju, Malaysia perlu menjadi pengeluar dan pencipta teknologi, bukannya terus menerus kekal menjadi pengguna teknologi.

Kumpulan penyelidik katanya, perlulah lebih agresif dalam penyelidikan dan berani menerokai bidang baru dengan pendekatan yang lebih saintifik dan terkini.

“Peranan penternak sebagai pembekal makanan asas juga akan menjadi lebih penting dan penternak yang mengamalkan cara lama pasti sudah ketinggalan.

“Mereka sebaliknya perlulah berani menerima teknologi baru dan membuat pelaburan dalam skala lebih besar untuk memastikan sentiasa relevan terhadap keperluan warga ternak, industri ternakan dan rakyat secara amnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap selepas merasmikan Sambutan 125 Tahun Perkhidmatan Veterinar di Freeport A’Famosa, Alor Gajah hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri Adly Zahari, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) Datuk Salahuddin Ayub serta Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam.

Mengulas lanjut, Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau yakin Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) akan terus melaksanakan dasar yang selari dengan perubahan di dalam masyarakat dan industri dari segi perkembangan pengetahuan serta teknologi berkaitan dengan pertanian.

Dr Wan Azizah berkata, dokumen Hala Tuju MOA: Prioriti dan Strategi 2019- 2020 yang dilancarkan Februari lalu dirangka berasaskan tiga dimensi sektor agromakanan iaitu keselamatan makanan negara, pembangunan ekonomi luar bandar serta pelaburan swasta dan perdagangan antarabangsa.

“Dokumen ini juga memberi penekanan dan perhatian kepada industri pengeluaran daging lembu, kambing dan tenusu.

“Selain keperluan menyediakan daging dan tenusu, industri penternakan ruminan ini adalah satu aktiviti ekonomi yang penting dalam pembangunan luar bandar,” katanya.

Beliau yakin JPV akan terus melaksanakan dasar yang selari dengan perubahan di dalam masyarakat dan industri dari segi perkembangan pengetahuan dan teknologi berkaitan pertanian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 2:44 PM
Dr Wan Azizah menunjukkan koleksi setem keluaran khas sempena Sambutan ke-125 tahun Veterinar Malaysia. FOTO Khairunisah Lokman