LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@hmetro.com.my


POLIS mengenal pasti tiga lelaki yang memuat naik status palsu berunsur hasutan mengenai kejadian lelaki maut ditembak polis selepas menetak dua individu di sebuah kilang di Bayan Lepas, Pulau Pinang, Selasa lalu.

Tiga lelaki berkenaan yang berusia 35 hingga 40 tahun dikesan memuat naik status palsu berunsur hasutan dengan mendakwa bahawa tindakan suspek menyerang dua bekas rakan sekerjanya kerana berang terhadap penghinaan kepada Nabi Muhammad SAW.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata, tiga individu itu dikesan tinggal di Kedah dan Pulau Pinang.

Katanya, usaha mengesan tiga lelaki itu dibuat mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan kerana cuba mendatangkan khianat awam dengan niat hendak mengapi-apikan mana-mana golongan atau kaum dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

“Semalam, polis menerima satu laporan di Pulau Pinang mengenai status yang disebar melalui Facebook dan Whatsapp mendakwa bahawa suspek ditembak mati polis itu menyerang dua bekas rakan sekerjanya kerana mereka menghina Nabi Muhammad SAW.

“Sedangkan hasil siasatan dijalankan mendapati bahawa suspek sebenarnya menghadapi masalah mental kerana asyik dan terpengaruh dengan video keganasan di Timur Tengah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Mior Farid berkata, dua lelaki berkenaan tinggal di Kedah manakala seorang lagi yang dikesan tinggal di Pulau Pinang.

Dalam kejadian jam 5.45 petang Selasa lalu, polis menembak mati seorang lelaki selepas suspek mengamuk dan menetak dua bekas rakan sekerjanya.

Seorang wanita mangsa tetak disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) pada hari yang sama, manakala seorang lagi masih kritikal.

Berita berkaitan

Kejadian amuk kes terpencil - KPN

Suspek tetak alami kemurungan

'Seorang mangsa tetak meninggal dunia'

Amukan berdarah dalam kilang [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 11:06 AM