LELAKI ditahan bersama dadah selepas didapati menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan di depan bank di Pusat Niaga Paka, Dungun, semalam. FOTO ihsan pembaca.
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


POLIS merampas satu botol heroin dan lima paket syabu hasil penahanan seorang lelaki di hadapan sebuah bank di Pusat Niaga Paka, Dungun, semalam.

Dalam kejadian 12.30 tengah hari itu, suspek berusia 35 tahun terbabit ditahan anggota polis selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan di hadapan bank terbabit.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, kejadian berlaku sewaktu anggota dari Balai Polis Paka bersama isterinya melakukan urusan di bank berkenaan.

Beliau berkata, anggota terbabit mendapati lelaki berkenaan menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan dengan berlegar-legar di depan bank berkenaan.

“Susulan itu anggota terbabit menghampiri suspek dan mematikan enjin motosikal lelaki terbabit untuk melakukan pemeriksaan.

“Selepas memperkenalkan diri sebagai anggota polis, lelaki terbabit cuba melarikan diri tetapi berjaya ditangkap anggota berkenaan.

“Hasil pemeriksaan fizikal terhadap suspek polis menemui satu botol plastik disyaki mengandungi heroin dan lima paket kecil ketulan kristal disyaki syabu,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, gambar sewaktu anggota terbabit menangkap suspek turut tular di media sosial, semalam.

Katanya, bagaimanapun, penahanan lelaki terbabit bukan kerana kes ragut seperti yang tular di Facebook, sebaliknya ia berhubung kes dadah.

“Anggota terbabit membaringkan suspek bagi untuk memastikan lelaki terbabit tidak bertindak agresif sewaktu melakukan pemeriksaan badan sebelum bantuan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) tiba di lokasi.

“Suspek dibawa ke Balai Polis Paka dan kini direman untuk siasatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 1:54 AM