Antara barangan yang dirampas daripada kedua lelaki selepas disyaki memecah dan mencuri barangan di Bukit Tengah, Bukit Mertajam hari ini.
Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


DUA lelaki yang menggunakan palam pencucuh untuk memecah cermin dan mencuri barang berharga dalam kereta ditahan polis di Taman Impian Indah, Alma di Bukit Mertajam hari ini.

Mereka itu ditahan pada 11.30 pagi selepas polis menerima maklumat berhubung kejadian pecah dan curi barang dalam sebuah kereta di Bukit Tengah empat jam sebelum itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, suspek dilaporkan memecah cermin dan mencuri barang berharga dalam kereta milik seorang lelaki pada 7.15 pagi.

“Mangsa kemudiannya membuat laporan berhubung kejadian terbabit 9.30 pagi dan susulan daripada itu polis berjaya menahan suspek selepas meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi.

“Dalam laporannya, mangsa mendakwa dia kehilangan dokumen peribadi, telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM350,” katanya.

Menurutnya, susulan penahanan suspek itu berjaya merampas enam telefon bimbit pelbagai jenama dan dokumen peribadi milik mangsa dalam beberapa kes jenayah yang dilakukan mereka.

“Dua suspek berusia 26 dan 27 tahun mengaku yang mereka melakukan lebih tiga kes pecah dan curi dalam kenderaan menggunakan palam pencucuh.

“Suspek juga beritahu yang mereka menggunakan wang yang dicuri untuk membeli bekalan dadah,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, semakan mendapati kedua suspek berkenaan yang tidak bekerja masing-masing mempunyai rekod lampau bersabit kes dadah dan jenayah.

Dua suspek terbabit akan direman di Mahkamah Bukit Mertajam esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 September 2019 @ 7:39 PM