Lori membawa muatan bahan kimia mudah terbakar terbalik di Kampung Parit Mentara 3. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
am@hmetro.com.my


LORI tangki terbalik di Kampung Parit Mentara 3, Bagan Serai hari ini mengakibatkan tumpahan muatan bahan kimia jenis Acetone Thinner hingga pihak berkuasa terpaksa memindahkan tujuh penduduk yang tinggal berhampiran kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, lori dipandu lelaki berusia 24 tahun itu dalam perjalanan membawa bahan kimia dari Klang ke Pulau Pinang sebelum terbalik pada 5 pagi di laluan terbabit.

Menurutnya, treler itu dipercayai tersalah jalan memasuki laluan di kampung berkenaan sebelum terbabas ke dalam parit dan terbalik.

“Pemandu lori tidak cedera namun kemalangan itu menyebabkan muatan cecair kimia tumpah dan mengalir masuk ke parit.

“Bomba serta Jabatan Pengairan dan Saliran dimaklumkan mengenai kejadian itu dan proses pemindahan cecair kimia itu sedang dijalankan pasukan penyelamat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohd Yunus Abu berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai tumpahan bahan kimia itu pada 9.58 pagi.

“Kami dapati lori membawa cecair mudah terbakar terbabas ke dalam parit dan pemeriksaan mendapati berlaku kebocoran serta tumpahan bahan kimia berkenaan.

“Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh ke lokasi kejadian bagi mengawal kebocoran,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, bahan kimia itu boleh menyebabkan kebakaran dan pihaknya bertindak mengarahkan penduduk berdekatan supaya mengosongkan rumah dalam jarak 100 meter untuk keselamatan.

Penduduk, Zalina Masni, 37, berkata, dia sekeluarga diarahkan berpindah sementara waktu pada 1 tengah hari tadi kerana rumahnya berhampiran dengan lokasi tumpahan kimia itu.

“Saya dan keluarga akur dengan arahan itu susulan bahan kimia berbahaya kerana mudah terbakar selain boleh menyebabkan sesak nafas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 September 2019 @ 5:08 PM