Kerja merobohkan gerai usang dan membuat halangan di Jalan Madrasah di Gombak Setia, Kuala Lumpur dilakukan semalam. Foto Ihsan DBKL
Faliq Lajim
faliq.lajim@hmetro.com.my


LIMA gerai diroboh dan dua lagi disita oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam operasi khas bersepadu penjaja tanpa lesen di Jalan Madrasah, Gombak Setia pada tengah hari semalam.

DBKL dalam kenyataannya berkata, operasi itu turut mendapat kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dan Alam Flora Sdn Bhd.

Menurutnya, operasi itu dilakukan berikutan pihaknya mengesan terdapat pembinaan struktur gerai penjaja tanpa lesen serta pembabitan warga negara asing yang menjalankan aktiviti perniagaan di kawasan itu.

“Kami mengambil dua tindakan sita berikutan terdapat peniaga menjalankan perniagaan yang menyebabkan halangan mengikut UUK 3 Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016.

“Selain itu, DKL turut mengambil tindakan meroboh lima gerai usang mengikut Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.

“Kesemua barangan yang disita kemudiannya dihantar ke stor sitaan DBKL untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan sentiasa melakukan operasi bersepadu seperti itu dari semasa ke semasa dalam membanteras gerai haram di kawasan sekitar pentadbirannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 September 2019 @ 4:59 PM