Keadaan bas persiaran yang terbakar ketika membawa 42 orang. FOTO Ihsan JBPM
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@nstp.com.my


TINDAKAN pantas pemandu bas persiaran memberhentikan bas sebaik terdengar bunyi letupan menyelamatkan nyawa 40 murid dan guru yang dibawa sebelum bas itu terbakar di Kilometer 53 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik - Jeli hari ini.

Dalam kejadian 1.15 pagi, bas itu membawa 42 orang termasuk dua pemandu serta 40 penumpang membabitkan murid dan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Peroi, Besut, Terengganu yang difahamkan menyertai rombongan ke Langkawi, Kedah.

Mereka berjaya menyelamatkan diri dan tidak mengalami kecederaan namun bas persiaran dinaiki terbakar kira-kira 80 peratus.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, siasatan awal mendapati kebakaran berlaku berpunca dari tayar belakang sebelah kanan bas yang secara tiba-tiba meletup sebelum terbakar.

“Pemandu bas yang terdengar bunyi letupan itu memberhentikan bas di bahu jalan hala ke Gerik sebelum mendapati bahagian bawah belakang bas mulai terbakar.

“Pemandu kemudian mengarahkan semua penumpang keluar dari bas untuk menyelamatkan diri sebelum api mula merebak ke keseluruhan bas, namun tiada kemalangan jiwa berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail berkata, pemandu utama, Mohamad Sabri Ismail, 53, dan pemandu kedua, Abu Bakar Hasan, 51, juga tidak mengalami kecederaan.

“Bas yang musnah terbakar itu dalam proses dialihkan dan sedang menunggu trak penunda yang diuruskan syarikat bas persiaran terbabit,” katanya.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada 1.22 pagi tadi.

Katanya, sebaik pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik tiba di lokasi bas berkenaan sudah terbakar hampir 70 peratus.

“Bas itu terbakar 80 peratus namun tiada kemalangan jiwa dan operasi ditamatkan 3.39 pagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 September 2019 @ 1:06 PM