MAYAT Kamil Ikhram (gambar kecil) ditemui dalam sungai di PIDA 4 Baru, Jalan Sanglang, Kodiang, Kubang Pasu, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


MAYAT pengawal keselamatan ditemui dalam sungai bersama sebuah motosikal di PIDA 4 Baru, Jalan Sanglang, Kodiang, Kubang Pasu, hari ini.

Mayat Kamil Ikram Lazim, 39, ditemui pada 8.10 pagi oleh orang ramai dan polis dari Balai Polis Kodiang dikerah ke tempat kejadian selepas menerima maklumat awam berhubung kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Jitra untuk menentukan sebab kematiannya.

“Mayat kemudian dirujuk ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk proses bedah siasat.

“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Berdasarkan siasatan, mangsa dipercayai berasal dari Kampung Telok Tui Mukim Jerlun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Katanya, setakat ini pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat berhubung kematian mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 11:02 PM