PEKERJA pembersihan menyapu jalan di Jalan Changkat Thambi Dollah dengan pemandangan yang berjerebu. FOTO Asyraf Hamzah
Rosyahaida Abdullah
am@hmetro.com.my


KUALITI udara di seluruh negara terus menunjukkan perkembangan positif setakat 5 petang hari ini selepas bacaan indeks pencemaran udara (IPU) merekodkan penurunan berterusan berbanding awal pagi.

Berdasarkan info Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), tiada kawasan merekodkan bacaan IPU kategori sangat tidak sihat dan hanya lapan kawasan mencatatkan bacaan IPU tidak sihat berbanding 24 kawasan pada jam 8 pagi tadi.

Manakala 59 kawasan merekodkan bacaan IPU tahap sederhana.

Bacaan tertinggi direkodkan di Semenanjung iaitu Johan Setia Klang (Selangor) dengan 161, menurun berbanding 172.

Diikuti Seri Manjung (Perak) 128; Nilai (Negeri Sembilan) dan Tasek Ipoh (Perak) 114; serta Putrajaya dan Klang (Selangor) 110.

Di pantai timur Semenanjung, hanya Temerloh (Pahang) merekodkan bacaan IPU tidak sihat iaitu 109 sementara selebihnya berada di bawah paras 100.

Bagi bacaan terkini di Banting (Selangor), berbanding 130 pada 8 pagi tadi, ia terus menurun kepada 103 pada 5 petang tadi.

Selain itu, semua kawasan di Sarawak merekodkan bacaan IPU tahap sederhana antara 56 hingga 81 (Sri Aman).

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan paras baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat manakala 300 ke atas berbahaya.

Lagi berita berkaitan Ancaman Jerebu

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 6:19 PM