RONDAAN di sekitar Johan Setia dijalankan anggota bomba dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor bagi mengesan aktiviti pembakaran terbuka dilakukan petani dan pekebun sayur. FOTO Ihsan Bomba
Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


TIGA pemilik tanah di Johan Setia, Klang, bakal berdepan tindakan undang-undang termasuk dihadapkan ke mahkamah kerana melakukan pembakaran terbuka.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Shafee Yasin berkata, pihaknya mengesan aktiviti pembakaran terbuka di tiga lokasi pada semalam dan kelmarin.

Menurutnya, pihaknya kesal kerana masih ada aktiviti pembakaran terbuka khususnya membabitkan tanah pertanian ketika kawasan itu mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berada pada tahap sangat tidak sihat sebelum ini.

“Dua aktiviti pembakaran terbuka di kawasan hutan dan tempat pembuangan sampah yang dikesan kelmarin iaitu di Jalan 7A dan Jalan Tengah 1.

“Satu ladang nanas di Jalan 1/Jalan Telekom dikesan melakukan pembakaran untuk membersihkan kawasan itu selepas hasilnya dituai semalam,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, semua pembakaran terbuka itu dipadamkan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Katanya, pihaknya kini sedang mengesan pemilik tanah itu bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada pihak pendakwa raya.

“Mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun atau denda maksimum RM500,000 atau kedua-duanya,” katanya.

Minggu lalu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dilaporkan berkata, kerajaan negeri akan merampas tanah petani dan pekebun yang didapati melakukan pembakaran terbuka.

Amirudin berkata, tindakan tegas perlu dilaksanakan apabila segelintir daripada mereka masih ingkar dengan arahan terutamanya ketika negeri ini dilanda jerebu sehingga kini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 5:19 PM
Skip this ad x