TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (kiri) berkenan melawat pameran Harumanis sempena sambutan ASWARA Ke-25 Tahun di ASWARA. FOTO Aswadi Alias
Hairulazim Mahmud
azim@hmetro.com.my


RAJA Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyarankan pengurusan bangunan kerajaan, hotel dan pusat peranginan di seluruh negara mempamerkan karya seni pelukis tempatan.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, langkah itu boleh dijadikan sebagai daya tarikan pelancongan dalam usaha menggalakkan kemasukan pelancong asing.

“Seharusnya pengusaha pelancongan mempamerkan lebih banyak hasil kerja karyawan tempatan untuk menghidupkan seni dan budaya kita,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Pameran Harumanis di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) hari ini.

Turut hadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi.

Sebanyak 32 karya lukisan oleh pensyarah Fakulti Rekaan Komunikasi Visual ASWARA dipamerkan dan 15 daripadanya dihadiahkan kepada Yayasan Tuanku Syed Putra di Perlis.

Titah Raja Muda Perlis, gudang membeli-belah, kilang, kuarters kerajaan, kediaman atau pejabat yang ditinggalkan serta tidak lagi digunakan boleh diubahsuai sebagai ruang pelukis.

Baginda bertitah, ia bagi memastikan pelukis dapat bergiat sepenuh masa sebagai kelangsungan karier seni mereka.

“Ia juga boleh dijadikan sebagai tarikan pelancongan baharu yang mendatangkan pekerjaan kepada pelukis malah menjana pendapatan pelancongan seni dan budaya,” titah baginda.

Baginda bertitah, ramai pelukis tempatan amat berbakat dan memiliki gaya tersendiri namun mereka tidak dapat bertahan lama sekiranya tiada sokongan serta galakan kerajaan serta swasta.

“Selain itu, latihan dan pendedahan berterusan harus diberikan untuk memantapkan lagi teknik dan hasil seni pelukis tempatan sebelum diketengahkan ke peringkat antarabangsa,” titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 4:04 PM