FOTO Hiasan
BERNAMA

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan operasi penguatkuasaan membabitkan modifikasi motosikal hanya membabitkan pemilik motosikal Yamaha 15ZR atau lebih dikenali Ysuku.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, operasi penguatkuasaan modifikasi motosikal tidak mengikut spesifikasi JPJ membabitkan semua jenis motosikal dan tidak pernah memfokuskan kepada Ysuku saja.

“Saya perlu perbetulkan, JPJ akan ambil tindakan terhadap semua motosikal yang diubah suai tidak mengikuti spesifikasi ditetapkan bukan Ysuku saja seperti ubah suai ekzos dan cermin (sisi),” katanya pada sidang media di Miri hari ini.

Beliau berkata, trend modifikasi motosikal bukan saja Ysuku tetapi model lain yang boleh membawa risiko kepada penunggang.

Untuk rekod, netizen dalam media sosial mendakwa operasi penguatkuasaan JPJ dan polis membabitkan modifikasi motosikal Ysuku saja sekali gus menimbulkan salah faham pemilik motosikal itu yang mendakwa menjadi mangsa keadaan terutama motosikal yang tidak diubah suai.

Dalam perkembangan lain, Shaharuddin berkata, mekanisme terbaharu untuk menangani ketirisan kutipan hasil daripada urus niaga Lesen Kenderaan Motor (LKM) di negara ini bakal diketahui awal tahun depan.

Menurutnya, pasukan petugas khas yang diberi tanggungjawab meneliti kaedah sesuai menyelesaikan masalah itu kini dalam proses membuat kajian dan akan dibawa ke peringkat Kementerian Pengangkutan untuk kelulusan.

“JPJ bekerjasama dengan Jabatan Kastam dan agensi lain untuk mencari penyelesaian,” katanya.

Beliau berkata, JPJ masih dalam proses mengkaji kemungkinan menentukan kesahihan kedudukan lokasi kenderaan berada di dalam negara ini menerusi sistem dalam talian ‘Ucustom’ yang dikendalikan kastam.

Awal bulan ini, JPJ dalam satu kenyataan menyatakan ketirisan kutipan hasil daripada urus niaga di negara ini berjumlah RM50 juta bagi tempoh Januari hingga Ogos 2019 dengan lebih 50 peratus urus niaga pembaharuan dibuat di Sabah, Sarawak, Labuan dan Langkawi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 3:56 PM