Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


BAPA kepada empat anak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini, atas dua pertuduhan merogol anak sulungnya berusia 12 tahun sehingga hamil.

Tertuduh berusia 41 tahun membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan sumbang mahram dengan merogol mangsa di rumah di daerah ini, antara 3 hingga 4 pagi pada Julai hingga Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengulangi kesalahan sama di lokasi sama antara 3 hingga 4 pagi pada 17 Ogos lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 25 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen selain tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Puteri Hikmatul Raudah Dzulaikha Mohamad.

Harian Metro sebelum ini melaporkan budak berusia 12 tahun menjadi mangsa nafsu serakah bapa sendiri.

Bagaimanapun, perbuatan rakus lelaki terbabit terbongkar selepas mangsa didapati hamil ketika mendapatkan rawatan di hospital di daerah ini selepas mengalami muntah-muntah ketika menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), baru-baru ini.

Berita berkaitan

Bapa durjana

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 3:28 PM
BAPA kepada empat anak berusia 41 tahun mengaku tidak bersalah atas dakwaan merogol anak sulungnya, 12, di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini. FOTO Imran Makhzan