Laporan portal berita Harian Metro semalam.
Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


“SAYA cuma dengar bunyi jeritan kuat pekerja lain dan suasana ketika itu sangat kecoh,” kata pekerja yang hanya mahu dikenali sebagai Amin, 20-an.

Amin menceritakan kejadian amuk dan tetak dua pekerja di sebuah kilang di Bayan Lepas, Georgetown semalam sehingga seorang daripadanya maut.

Menurutnya, ketika itu dia sedang melakukan kerja tidak jauh dari lokasi kejadian namun hanya menyedari ada pekerja ditetak selepas bunyi bising serta mendengar jeritan.

“Sebaik mendengar bunyi bising itu, saya lihat pekerja lain bertempiaran lari menyelamatkan diri dan saya juga lihat mangsa berlumuran darah.

“Pihak pengurusan kemudian menghubungi polis dan selepas itu saya dengar bunyi tembakan beberapa kali sebelum diberitahu lelaki yang mengamuk sebelum itu sudah meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, ahli keluarga lelaki yang mengamuk dan enggan dikenali berkata, arwah sebelum ini tinggal dengan mereka sebelum berpindah keluar.

“Arwah berasal dari Jerantut, Pahang, dia datang dan tinggal di negeri ini bersama kami sejak mendapat kerja di kilang itu.

“Bagaimanapun, nenek saudaranya kerap menegur arwah yang pulang lewat malam sebelum dia mengambil keputusan menyewa bilik dan tinggal seorang diri,” katanya.

Menurutnya, arwah seorang yang rajin ke masjid namun dia agak pendiam dan dia juga difahamkan arwah sebelum ini dinasihatkan berhenti daripada bekerja di kilang terbabit.

“Bagaimanapun, saya tidak tahu apa sebab dia dinasihatkan berhenti oleh pihak pengurusan kilang itu,” katanya ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang hari ini.

Jenazah lelaki terbabit dituntut ahli keluarga 12.30 tengah hari tadi dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Gedung selepas Zohor.

Dalam kejadian 4.45 petang semalam, lelaki mengamuk dan menetak dua pekerja kilang hingga menyebabkan seorang daripadanya maut.

Kejadian itu turut menyebabkan suspek maut dengan sekurang-kurangnya dua das tembakan terpaksa dilepaskan selepas dia enggan menyerah diri dan cuba menyerang polis.

Berita berkaitan

Suspek tetak alami kemurungan

Amukan berdarah dalam kilang [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 2:40 PM