Poliana Ronnie Sidom
am@hmetro.com.my


PASUKAN keselamatan sudah mengenal pasti kumpulan bersenjata yang menculik tiga nelayan warga Indonesia di perairan Tambisan, Lahad Datu, semalam.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Hazani Ghazali berkata, penjenayah itu daripada kumpulan culik untuk wang tebusan (KFR) dan pasukan keselamatan sudah berhubung dengan pihak berkuasa Filipina untuk berkongsi maklumat dan melancarkan operasi.

Katanya, ia adalah kali pertama kegiatan KFR dilakukan pada waktu siang, berbanding kebanyakan kes penculikan di timur Sabah yang berlaku ketika perintah berkurung.

“Kumpulan KFR kita kenal pasti. Kita juga sudah berhubung dengan pihak berkuasa di Filipina.

“Ia kali pertama KFR berlaku siang hari dan kita sedang menjalankan siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian jam 11.50 pagi semalam, tiga nelayan dikenali sebagai Maharudi Lunani, 48, Muhammad Farhan, 27, dan Samiun Maneu, 27, disyaki dilarikan tujuh lelaki bersenjata menggunakan bot pam ketika menangkap udang di perairan Tambisan.

Dalam kejadian itu, dua bot nelayan di lokasi kejadian termasuk bot dinaiki mangsa dengan jarak 50 meter antara satu sama lain, sebelum kumpulan lelaki bersenjata itu muncul dengan menaiki dua bot dan mengiringi bot mangsa menuju keluar perairan negara.

Pasukan Polis Marin (PPM) yang melakukan pencarian sebaik menerima maklumat bagaimanapun cuma menemui bot kosong dengan enjin masih hidup di perairan berkenaan, dengan semua mangsa dipercayai dibawa lari ke perairan Pulau Tawi-Tawi di selatan Filipina.

Berita berkaitan

Nelayan Indonesia diculik

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 11:05 AM