PENUNGGANG motosikal berteduh untuk mengelak daripada dibasahi hujan. FOTO Khairunisah Lokman
Fairuz Zaidan
fairuzaidan@nstp.com.my


LEBIH sebulan berdepan dengan cuaca panas dan kering, Melaka akhirnya menerima taburan hujan di beberapa kawasan di tiga daerah negeri ini, hari ini.

Hujan lebat kira-kira 30 minit itu bagaikan suatu rahmat kepada penduduk negeri ini yang berdepan isu kemarau berpanjangan akibat cuaca berjerebu, termasuk kini terbeban dengan krisis bekalan air yang kian meruncing.

Difahamkan, hujan serta ribut petir sejak 4 petang tadi mula membasahi beberapa kawasan di daerah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin, sekali gus petanda baik kepada perubahan monsun yang sedang melanda negara pada masa ini.

Malah, tinjauan di sekitar bandar raya ini mendapati ramai warga bandar raya yang tidak menduga dengan perubahan cuaca drastik terutama hujan pada sebelah petang termasuk dalam kalangan penunggang motosikal hingga terpaksa mencari tempat untuk berteduh.

Tinjauan di Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di Masjid Al-Azim, pula mendapati rata-rata ibu bapa turut menggunakan payung bagi mengambil anak mereka di pusat asuhan berkenaan.

Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) negeri, Nasrul Hakim Hashim berkata, perubahan monsun yang menyaksikan peralihan musim barat daya ke timur laut yang sedang dihadapi menyumbang kepada taburan hujan di beberapa tempat.

“Seperti diramalkan MetMalaysia, trend hujan terutama pada sebelah petang hingga awal malam dijangka berterusan sehingga akhir Oktober hingga awal November.

“Perubahan arah angin ini menyebabkan Malaysia termasuk Melaka menerima hujan dengan lebih kerap. Orang ramai disarankan melihat laman web MetMalaysia iaitu met.gov.my bagi mengikuti perkembangan cuaca terkini sekali gus dapat membantu merancang perjalanan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 7:29 PM