Kumo diselamatkan bomba selepas tersangkut di balkoni Tingkat 10. FOTO Ihsan JBPM
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


PASUKAN bomba dan penyelamat dihubungi bagi menyelamatkan kucing betina yang tersangkut di balkoni Tingkat 10 Projek Perumahan Rakyat (PPR) Padang Hiliran di Kuala Terengganu hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba Rozizah Abni Hajar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11 pagi sebelum enam anggota bergegas ke lokasi bagi menyelamatkan kucing Bengal.

“Pemiliknya, Mohd Sufian Busu, 34, memaklumkan kucing yang dipanggil ‘Kumo’ disedari hilang sejak 10 pagi sebelum dia ternampak kucing itu tersangkut di balkoni rumah.

“Dia cuba menyelamatkan kucing yang berusia setahun itu tetapi gagal sebelum menghubungi kami untuk bantuan.

“Kami mengambil masa 20 minit untuk membawa kucing itu turun sebelum ia diserahkan kepada pemiliknya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 4:55 PM