KESAN lebam dan luka di anggota badan mangsa. FOTO Ihsan Polis.
Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


BUDAK lelaki lima tahun lebam pipi kiri, kedua-dua lengan, kaki kiri dan cedera di kemaluan dipercayai didera ibu kandung serta teman lelakinya di rumah dekat Jalan Jelutong, Georgetown.

Kejadian disedari pada 12 tengah malam Sabtu lalu, ketika sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut melakukan serbuan di rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik ke rumah terbabit untuk menahan teman lelaki ibu mangsa berkait kes dadah.

Katanya, sejurus pasukan memasuki bilik rumah itu mereka menemui mangsa yang dipenuhi kesan lebam.

“Hasil siasatan lanjut, kanak-kanak itu memberitahu yang dia dipukul ‘daddy’ iaitu teman lelaki ibunya dan ibunya sendiri namun, tidak memberitahu sebab diperlakukan demikian.

“Mangsa kemudian dibawa menjalani pemeriksaan di Hospital Pulau Pinang dan doktor mengesahkan terdapat kesan lebam di pipi, lengan, kaki selain cedera kemaluan, namun imbasan X-ray tidak menemui kesan patah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Che Zaimani berkata, mangsa kini ditahan di wad untuk pemeriksaan lanjut dan berada dalam pemantauan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, pihaknya menahan ibu kandung mangsa berusia 28 tahun dan teman lelakinya berumur 37 tahun untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.

“Kedua-dua mereka turut didapati positif methamphetamine. Suspek lelaki yang juga pekerja kontrak mempunyai 12 rekod lampau masing-masing membabitkan kes jenayah dan dadah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 3:52 PM