Fairuz Zaidan
am@hmetro.com.my


PENERBANGAN Malindo Air dari Melaka ke Pekan Baru, Indonesia yang dijadual jam 11.50 pagi hari ini, terpaksa dibatalkan akibat jarak penglihatan yang terhad di negara berkenaan.

Difahamkan, faktor jerebu yang melanda kepulauan Sumatera turut menyebabkan penerbangan sama dari Pekan Baru ke Melaka turut dibatalkan petang ini.

Berikutan itu, seramai 11 penumpang yang sepatutnya berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), di Melaka, pagi tadi terpaksa menunda penerbangan mereka ke tarikh lain.

EXCO Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, pembatalan penerbangan itu terpaksa dibuat oleh syarikat Malindo Air memandangkan cuaca jerebu serta jarak penglihatan hanya 600 meter sahaja di Pekan Baru.

“Ekoran jarak penglihatan yang terhad iaitu hanya 600 meter sahaja di Pekan Baru, syarikat Malindo Air terpaksa membatalkan penerbangan Melaka - Pekan Baru hari ini.

“Seramai 11 penumpang yang terbabit dalam penerbangan itu difahamkan sudah dipindahkan ke jadual penerbangan esok atau mengikut pilihan mereka pada hari lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata penerbangan lain dari LTAM termasuk ke Langkawi dan Pulau Pinang diteruskan seperti biasa.

Sementara itu, tinjauan NSTP di LTAM, hari ini mendapati jadual penerbangan ke destinasi lain tetap diteruskan seperti biasa.

Malah, suasana di lapangan terbang itu tetap sibuk dengan penumpang lain bagi penerbangan ke Pulau Pinang dan Langkawi termasuk melalui penerbangan AirAsia.

Bagaimanapun, usaha wartawan untuk menemubual penumpang yang terkandas bagi penerbangan Melaka - Pekan Baru, hampa kerana tiada penumpang berkenaan berada di lapangan terbang itu.

Seorang penumpang pesawat Malindo Air yang hanya ingin dikenali sebagai Nora, berkata dia terkejut ada penerbangan dibatalkan tetapi bersyukur penerbangannya ke Langkawi berlepas mengikut jadual.

“Betul ke ada pembatalan penerbangan? Nasib baik tiada masalah untuk ke Langkawi. Risau juga apabila ada pembatalan penerbangan sebab keadaan cuaca yang berjerebu ini,” katanya.

Sementara itu, bacaan indeks pencemaran udara (IPU) di tiga stesen di negeri ini sehingga jam 1 tengah hari tadi menunjukkan peningkatan bacaan melepasi paras tidak sihat.

Menerusi Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan IPU di Bandaraya Melaka mencatatkan bacaan 134; Bukit Rambai (145), manakala Alor Gajah (140) sejaki gus mencatatkan bacaan kualiti udara tidak sihat.

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan paras baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas (berbahaya).

  • Lagi berita berkaitan Ancaman Jerebu
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 3:20 PM
    PENERBANGAN Malindo Air di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka, Batu Berendam, Melaka. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber