Keadaan kereta yang terbakar dalam kemalangan malam tadi. FOTO Ihsan JBPM
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


PEMANDU dan penumpang kereta berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaiki terbakar dalam kemalangan di Pekan Simpang Empat Kangkung, Alor Setar malam tadi.

Dalam kejadian 9.50 malam itu, Perodua Alza dinaiki masing-masing lelaki dan wanita itu terbabit kemalangan dengan trak penunda namun mereka selamat.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 9.57 malam berhubung kejadian itu.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja dikerahkan ke lokasi dan tiba 10.03 malam.

“Kereta itu terbakar dan mereka sempat menyelamatkan diri.

“Pemandu dan penumpang kereta serta pemandu trak penunda cedera dan mereka dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan lanjut,” katanya.

Katanya, punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 2:49 PM