FOTO Hiasan
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


REMAJA lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini, atas empat pertuduhan merogol gadis bawah umur berusia 14 tahun.

Tertuduh berusia 18 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 14 tahun di sebuah rumah di Bukit Payong, Marang, 1 pagi, pada 21 Jun 2018.

Tertuduh sekali lagi mengulangi kesalahan sama di alamat sama pada jam 12.35 tengah malam dan jam 3.05 pagi pada 27 Jun 2018.

Bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa merogol mangsa di dalam tandas di luar sebuah rumah di Bukit Payong, Marang, antara jam 10 malam hingga 11 malam pada 11 Julai 2018.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 376 (1) KK berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 29 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk jatuh hukum, sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 2:20 PM