Rakaman CCTV menunjukkan dua lelaki memecah masuk kedai cendol. FOTO Ihsan Pembaca
Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


GELAGAT dua lelaki yang memecah masuk kedai cendol di Olak Lempit, Kuala Langat dirakam kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan.

Difahamkan, kejadian berlaku kelmarin ketika premis itu ditutup dan rakaman kegiatan dua lelaki itu tular di media sosial.

Dalam rakaman berdurasi seminit itu, dua lelaki terbabit dilihat menyelongkar bahagian bawah meja premis.

Penjenayah itu melarikan tabung berisi wang serta mesin juruwang. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Azizan Tukiman berkata, pihaknya masih belum menerima laporan polis dibuat mangsa.

“Sehingga hari ini polis masih belum menerima sebarang laporan mengenai kejadian yang tular di media sosial itu.

“Oleh yang demikian saya meminta mangsa untuk tampil membuat laporan bagi membolehkan pihak polis menyiasat kejadian itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 2:04 PM