RIZA hadir bagi pendengaran permohonan pindah kes aktiviti pengubahan wang haram berjumlah AS$243 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Nor Azura Abdul Jalil
zura_jalil@hmetro.com.my


KES membabitkan anak tiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Riza Shahriz Abdul Aziz yang didakwa dengan lima pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah AS$248 juta (RM1.25 bilion), lapan tahun lalu, kekal didengar di Mahkamah Sesyen.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan demikian selepas menolak permohonan pihak pembelaan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi ketika prosiding pendengaran kes di hadapannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dalam penghakimannya, Mohd Nazlan berkata, Mahkamah Sesyen juga adalah kompeten (mempunyai keupayaan) untuk mendengar kes rasuah.

Mohd Nazlan berkata, pemindahan kes ke Mahkamah Tinggi tidak mempromosikan kecekapan kehakiman dan menyebabkan penangguhan untuk memulakan prosiding perbicaraan.

“Hakim Mahkamah Sesyen yang mendengar kes ini mempunyai pengalaman dalam kes jenayah termasuk pengubahan wang haram.

“Kes ini membabitkan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFA) 2001 yang selalunya dikendalikan Mahkamah Sesyen di seluruh negara,” katanya.

Prosiding hari ini ditetapkan untuk keputusan pendengaran berhubung permohonan Riza Shahriz, 43, memindahkan kes yang dihadapinya ke Mahkamah Tinggi.

Terdahulu, Peguam Datuk Hariharan Tara Singh yang mewakili Riza Shahriz selaku pemohon memberitahu mahkamah pihak pembelaan memfailkan permohonan untuk memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi memandangkan kes itu membabitkan undang-undang rumit dan sukar.

“Kelima-lima pertuduhan didakwa dilakukan oleh tertuduh adalah di luar negara selain ia juga membabitkan isu berkaitan 1Malaysia Developement Sdn Berhad (1MDB),” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, Hakim Mahkamah Sesyen itu mempunyai keupayaan mendengar kes ini kerana berpengalaman hampir 10 tahun dalam mendengar kes jenayah.

Perbicaraan kes itu ditetapkan pada Januari tahun depan.

Sementara itu, Hariharan ketika ditemui media selepas tamat prosiding berkata, pihak pembelaan akan membuat rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan itu.

Pada 5 Julai lalu, Riza Shahriz yang juga pemilik syarikat Red Granite Pictures membuat pengakuan tidak bersalah terhadap lima pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah AS$248 juta (RM1.25 bilion), lapan tahun lalu.

Tuduhan itu membabitkan wang yang diterimanya antara 2011 dan 2012 daripada Good Star Ltd yang dikaitkan dengan ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho dan dana 1MDB.

Penerbit filem ‘Wolf of The Wall Street’ itu akan dituduh mengikut Seksyen 4(1) AMLATFA 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, Riza Shahriz didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima hasil aktiviti haram berjumlah masing-masing AS$1,173,104 juta dan AS$9 juta melalui transaksi pemindahan wang daripada akaun nombor 11116073 milik Good Star Limited di RBS Coutts, Zurich, Switzerland ke akaun City National Bank, Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), bernombor 123284291 milik Red Granite Production Inc.

Wang berkenaan adalah hasil daripada penyelewengan terhadap dana 1MDB.

Dia juga didakwa melakukan perbuatan itu di City National City Bank, Los Angeles Main, 525 South Flower Street, Los Angeles, California, AS, masing-masing antara 12 April dan 12 Mei 2011 serta 10 September dan 10 Oktober 2012.

Bagi pertuduhan ketiga hingga kelima, Riza Shahriz didakwa menerima hasil aktiviti haram berjumlah masing-masing AS$133 juta, AS$60 juta dan AS$45 juta daripada akaun bernombor 81134378 milik Aabar Investment PJS Limited di BSI SA, Lugano ke akaun BSI Bank Ltd Singapura bernombor 6C02250A milik Red Granite Capital Limited.

Riza Shahriz didakwa melakukan perbuatan itu di BSI Bank Ltd, 7 Temasek Boulevard, #32-01 Suntec Tower One, Singapura, masing-masing pada 18 Jun, 23 Oktober dan 14 November 2012.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 1:58 PM