BOMBA membantu mangsa lori terbabit. FOTO Ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


LORI membawa muatan susu getah terbalik dalam kemalangan di Jalan Jeniang, berhampiran Tol Gurun, dekat Gurun. malam tadi

Dalam kejadian 9.50 malam tadi, kemalangan itu turut membabitkan dua kenderaan lain, namun begitu, semua pemandu dan penumpang dilaporkan selamat.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan pada 9.55 malam berhubung kejadian itu.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Fisol Osman bersama dua jentera tiba di lokasi kejadian pada 10.03 malam.

“Setibanya ke lokasi mendapati berlaku kemalangan membabitkan tiga kenderaan dengan lori muatan getah dalam keadaan terbalik

“Pemandu lori berkenaan turut tersepit dan berjaya dikeluarkan tidak lama kemudian.

“Kejadian turut mengakibatkan susu getah terbalik, namun, keadaan masih terkawal,” katanya.

Katanya, Pasukan Khas Bahan Kimia Merbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah turut ke lokasi bagi meninjau susulan susu getah yang terbalik dan ia didapati selamat.

“Mangsa yang tersepit kemudiannya dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk rawatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 10:38 AM