PENOLONG Setiausaha Kelab Puteri Perihatin Mahkota (KPPM), Norazura Mustafa (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan kepada Fauziah.
Adnan Ibrahim
am@hmetro.com.my


SEORANG ibu tunggal merayu sumbangan orang ramai bagi mencukupkan kos pembedahan anaknya yang menghidap masalah Rheumatic Fever (kerosakan injap jantung).

Fauziah Abd Hamid, 49, berkata, anaknya Affendi Irfan Roslee, 14, disahkan mengalami masalah kesihatan itu pada 11 September lalu selepas menerima rawatan susulan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

Dia kini buntu memikirkan cara untuk mencukupkan kos pembedahan Affendi Irfan yang dianggarkan antara RM35,000 hingga RM50,000.

“Saya dimaklumkan pembedahan perlu dilakukan segera, tetapi saya tidak berani untuk maklumkan satu tarikh yang tetap.

“Sekarang saya kena fikirkan cara untuk cukupkan kos pembedahan kemudian berjumpa semula dengan pihak hospital bagi urusan selanjutnya.


FAUZIAH bersama Affendi rayu bantuan orang ramai.

“Alhamdulillah, setakat ini ramai hubungi saya dan memaklumkan kesediaan untuk membantu, semua ini mengharukan kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Nombor 73, Jalan Keembong, Kampung Melayu Dua, di sini, semalam.

Wanita ini berkata, ketika berusia 11 tahun Affendi Irfan mengalami deman berpanjangan dan dirawat di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang sebelum dirujuk ke HSA.

Katanya, anak bongsu daripada lima beradik itu kini kerap mengalami sakit sendi dan tulang, mengalami sesak nafas, degupan jantung menjadi laju dan kelihatan lemah.

“Lebih membimbangkan, kerosakan injap jantung ini boleh menyebabkan organ penting itu bengkak dan membahayakan kesihatan anak,” katanya.

Orang ramai ingin membantu boleh menghulurkan bantuan menerusi akaun Maybank Fauziah Abdul Hamid (151061327017).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 6:15 AM