MOTOSIKAL yang terbabas ke dalam longkang di Taman Bukit Permata. FOTO ihsan pembaca
Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my


PENUNGGANG motosikal berkuasa tinggi maut selepas motosikal ditungganginya terbabas ke dalam longkang di Taman Bukit Permata, Lumut, hari ini.

Dalam kejadian 11.30 pagi itu, mangsa, Nik Mohd Zaki Yamani Ismail, 35, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintendan Zakaria Abd Rahman berkata, mangsa menunggang motosikal dari arah Manjung ke Teluk Batik.

Katanya, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikal menyebabkannya terbabas ke dalam longkang.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Manjung untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 6:08 PM