MASJID Sri Sendayan boleh memuatkan 5,000 jemaah pada satu masa. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my

KEUNIKAN Masjid Sri Sendayan yang mempunyai ciri Masjid Nabawi dan Taj Mahal menjadi tarikan terbaharu masyarakat Islam di Negeri Sembilan dan pelancong.

Masjid yang terletak di Bandar Sri Sendayan di sini, itu tersergam indah dengan keunikan dan kehalusan seni bina Islam, sekali gus memukau setiap mata yang memandang.

Disebabkan keunikan seni bina masjid itu sendiri, ia tidak henti-henti menerima kunjungan orang ramai termasuk dari luar negeri ini sebaik memulakan operasi secara rasmi pada solat Jumaat, kelmarin.

Melangkah masuk ke Masjid Sri Sendayan sungguh mengujakan apabila setiap langkah seperti berada di Taj Mahal, India dengan pemandangan bangunan putih yang unik.


BINAAN masjid menggunakan tenaga pakar empat negara. FOTO Iqmal Haqim Rosman

Eksekutif Masjid Sri Sendayan, Ustaz Ahmad Naim Azlan berkata, masjid itu dibina pada 2015 yang diwakafkan oleh pengasas syarikat perbankan Kumpulan RHB, Tan Sri Abd Rashid Hussain kepada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) selaku pemegang amanah.

“Pembinaan masjid di atas tanah seluas 4.5 hektar itu mengambil masa kira-kira empat tahun dan kini ia mampu memuatkan 5,000 jemaah pada satu masa.

“Pembinaan masjid itu menelan kos lebih RM100 juta dengan pelan dan idea pembinaan juga cetusan daripada pewakaf,” katanya ketika ditemui di Masjid Sri Sendayan, Seremban, semalam.


REKAAN ruang utama solat yang menarik. FOTO Iqmal Haqim Rosman

Ahmad Naim berkata, binaan Masjid Sri Sendayan turut menggunakan sepenuhnya tenaga pakar sekurang-kurangnya empat negara iaitu Turki, Emiriah Arab Bersatu, Maghribi dan China.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 7:45 AM