LAPORAN Harian Metro, kelmarin.
Aizat Sharif dan Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my

SUSPEK yang menceroboh kawasan kompartmen 19 Hutan Simpan Gunung Inas, Kulim mendakwa dia memiliki geran tanah di kawasan berkenaan.

Namun hasil semakan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) menerusi jaringan GPS (sistem pengesanan global) dan pelan Pejabat Hutan Daerah Kulim, kawasan itu masih terletak dalam radius Hutan Simpan Kekal (HSK).

Pengarahnya, Roslan Rani berkata, pihaknya akan merujuk kepada Pejabat Tanah Daerah bagi mengenal pasti status sebenar tanah terbabit untuk melengkapkan siasatan.

“Kadang-kadang berlaku tanah ‘ditolak keluar’ daripada HSK namun tidak digazetkan, jadi dalam GPS dan peta topografi masih jadi kawasan HSK.

“Bagaimanapun dalam risikan selama dua minggu, ada pencerobohan dan penerokaan di kawasan baharu. Apabila ada pencerobohan barulah kita akan nampak dari GPS.

“Selama ini suspek yang berusia 43 tahun itu mengaburi mata pihak berkuasa dan orang awam dengan pagar yang dibina selain dikatakan kebal, kita akan siasat secara terperinci sebelum mendakwa suspek ke mahkamah,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Roslan berkata, pihaknya juga akan menyiasat dakwaan geran yang dimiliki lelaki terbabit dan sehingga kini suspek masih belum mengemukakan geran berkenaan.

Katanya, kertas siasatan berhubung kes itu sudah dibuka JPNK dan suspek akan dipanggil pegawai penyiasat jabatan untuk membantu siasatan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kulim, Yeo Keng Chuan ketika dihubungi berkata, ada permohonan untuk membuka tanah oleh individu di sekitar kawasan hutan simpan itu dikemukakan dalam mesyuarat tindakan daerah yang diadakan setiap bulan.

“Namun tiada kelulusan diberikan setakat ini terutama jika ia membabitkan tanah hutan simpan, bermakna ia di bawah kuasa Jabatan Perhutanan Negeri.

“Malah saya juga tidak mengetahui ada serbuan dan tangkapan yang dilakukan terhadap suspek yang menceroboh tanah hutan simpan itu,” katanya.

Kelmarin, Harian Metro melaporkan hasrat kontraktor untuk menanam kelapa sawit dan durian Musang King di hutan berkenaan punah apabila ditahan bersama seorang pekerjanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 7:31 AM