ANGGOTA bomba menyelamatkan kura-kura dalam kebakaran belukar. FOTO Ihsan Bomba
Ibrahim Isa
ibrahim@hmetro.com.my

TIDAK sekadar bertungkus-lumus memadamkan kebakaran malah anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut berusaha menyelamatkan haiwan yang terperangkap.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Bahru, Nazaruddin Yusof berkata, pihaknya menyelamatkan kura-kura, kucing, burung dan haiwan lain yang terperangkap ketika memadamkan kebakaran belukar di Jalan Lambak, Taman Johor, Johor Bahru.

“Kami melihat satu objek hitam bergerak pantas cuba menyelamatkan diri daripada kebakaran.

“Rupa-rupanya kami mendapati seekor kura-kura merangkak keluar dari kawasan belukar terbakar. Haiwan itu cuba menyelamatkan diri sebelum diselamatkan.

“Anggota bomba membawa kura-kura seberat 4 kilogram itu ke jentera sebelum dibawa pulang ke BBP Larkin sebaik operasi memadamkan kebakaran tamat,” katanya.

Menurutnya, kura-kura itu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor untuk tindakan lanjut.

JBPM berkata, selain kura-kura, pihaknya turut menyelamatkan haiwan lain ketika memadamkan api.

Katanya, ia termasuk kucing, anjing, burung dan haiwan peliharaan lain.

Menurutnya, walaupun terpaksa bertindak pantas, pihaknya tetap menyelamatkan haiwan bagi mengelak ia menjadi mangsa kebakaran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 6:45 AM