GAMBAR daripada rakaman video mengenai penemuan buntil dadah dalam daging siap dimasak yang tular di media sosial.
Hidayatul Akmal Ahmad
hidayatulakmal@nstp.com.my


POLIS belum menerima laporan berhubung penemuan dadah dalam daging siap dimasak seperti tular di media sosial, kebelakangan ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata sehingga kini pihaknya tidak mendapat laporan berhubung perkara berkenaan.

“Saya sudah gerakkan pasukan untuk menyiasat dengan lebih lanjut mengenai video tular berkenaan.

“Pada masa sama, kami minta dan berharap orang ramai supaya tidak menularkan sesuatu video atau berita tidak sahih di media sosial,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Beliau berkata, sehingga kini masih belum dapat dipastikan sama ada video itu dari dalam atau luar negara.

Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman video menunjukkan dadah siap berbalut dalam buntil plastik ditemui dalam bebola daging sudah siap dimasak.

Melalui rakaman video berdurasi satu minit dan 29 saat itu, kelihatan seorang wanita menghiris beberapa bebola daging berkenaan sebelum mengeluarkan buntil plastik kecil mengandungi dadah.

Kelihatan buntil dadah berkenaan dibalut dengan plastik berwarna hijau dan putih, dengan setiap bebola daging mengandungi satu buntil dadah.

Bagaimanapun, setakat ini tidak dapat dipastikan lokasi video berkenaan diambil.

Difahamkan, video itu tular di laman sosial selepas media antarabangsa melaporkan kematian dua lelaki warga Nigeria selepas buntil dadah ditelan mereka pecah ketika dalam penerbangan dari Brazil ke Utopia, 15 September lalu.

Kedua-duanya dilaporkan meninggal dunia sebelum pesawat berkenaan sempat membuat pendaratan cemas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 1:34 AM