KEADAAN kereta Honda Jazz dipandu mangsa yang terbabas dan terjunam dalam gaung di Kilometer 1, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Gua Musang, semalam. FOTO Ramli Ibrahim.
Ramli Ibrahim
cnews@nstp.com.my


LELAKI maut manakala rakannya cedera apabila kereta dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung di Kilometer 1, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Gua Musang, pagi semalam.

Dalam kejadian 11 pagi itu, pemandu kereta Honda Jazz, Mohd Fadlisyam Ibrahim, 33, yang parah di kepala dan badan maut selepas empat jam menerima rawatan di Hospital Gua Musang (HGM).

Rakan mangsa, Mohd Shafiq Mohd Soffe, 30, yang menerima rawatan di hospital sama, dilaporkan stabil.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari Gua Musang menghala ke Kuala Krai.

“Sebaik tiba di lokasi di lokasi kejadian, kereta mangsa hilang kawalan sebelum menjunam ke dalam gaung sedalam 10 meter di sebelah kanan jalan.

“Mangsa yang tersepit dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang.

“Mangsa kemudian dikejarkan ke HGM untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada 3 petang,” katanya.

Beliau berkata, mayat kemudian dibawa ke bilik mayat hospital itu untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya untuk dikebumikan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 1:10 AM